EXCO Selangor Izham Hashim mengakui pegawai daerah dan negeri itu kurang berpengalaman menangani banjir besar yang berlaku pada Disember lalu.
Pengerusi jawatankuasa tetap infrastruktur dan pertanian itu memberi contoh seorang pegawai daerah Hulu Langat yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Beliau jadi pegawai daerah tidak sampai tiga bulan, jadi kami tidak boleh berharap (semasa banjir besar),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengakuannya dibuat sebaik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan kerajaan Selangor yang tidak bersedia dan huru-hara dalam kalangan penyelamat sekali gus mencetuskan kekacauan di negeri paling popular itu bulan lepas.

Izham berkata beberapa pegawai yang terlibat dalam operasi itu terperangkap di lebuh raya manakala yang lain terkandas di rumah mereka yang dinaiki air.
“Ada petugas barisan hadapan yang rumah mereka terjejas akibat banjir dan kebimbangan mereka berbeza pada ketika itu. Saya tidak boleh salahkan mereka.
“Dengan kurangnya tenaga kerja, tidak banyak yang boleh dibuat sedangkan kami ramal hujan 180mm tetapi lebih 400mm,” katanya.
Izham turut berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sepatutnya turut memberi amaran keras terhadap situasi banjir.
“Setiap tahun, ada amaran daripada MetMalaysia jadi mereka sepatutnya beri amaran yang lebih tegas untuk Disember,” katanya.
Bulan lepas, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata mereka bersiap sedia menghadapi banjir namun hujan yang luar biasa tinggi dalam tempoh 48 jam telah mengganggu pelan kecemasannya.
Beliau berkata wakil di peringkat daerah telah pun bermesyuarat pada November lalu dan memulakan kerja-kerja asas bagi menghadapi musim hujan.
Amirudin juga menafikan negeri itu gagal merancang untuk menghadapi banjir kerana Selangor bersiap sedia menghadapi taburan hujan antara 60mm-100mm.
“Hujan yang tidak dijangka di Selangor menyebabkan pihak berkuasa persekutuan dan negeri tidak berjaga-jaga dan tidak bersedia,” katanya.
Taburan hujan dalam tempoh 48 jam sebanyak 400mm, iaitu lebih tinggi daripada purata. Purata taburan hujan untuk keseluruhan bulan November ialah 250-370mm, manakala 200-300mm diramalkan untuk Disember.
Izham juga berkata, maklum balas daripada kerajaan pusat sangat perlahan.
“Pada petang Sabtu (18 Disember) kami bincang dalam kumpulan WhatsApp kami dengan Amirudin untuk hubungi kerajaan persekutuan minta tolong.
“Tetapi mereka hanya ambil tindakan lewat petang Ahad sedangkan mereka sepatutnya bertindak segera dan tidak menunggu sehingga mangsa kelaparan,” katanya.

Hujan lebat sebelum dan pada hujung minggu 18-19 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Banjir itu telah menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal ketika kemuncaknya selain mengorbankan 54 nyawa. Selangor merupakan salah satu negeri yang paling teruk dilanda di mana beribu-ribu orang terpaksa dipindahkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad, yang menyelia Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), menjawab kritikan tersebut dengan berkata ia sekadar agensi persekutuan yang membantu selaraskan agensi yang bertanggungjawab memberikan bantuan.
Selepas itu, Amirudin dan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor Noh Omar tidak bersetuju mengenai bidang kuasa masing-masing di bawah MKN negeri. – 21 Januari, 2022.
Komen