Selangor kenal pasti 45 kawasan banjir sebelum musim hujan Mac, kata exco


Noel Achariam Elill Easwaran

Kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah banjir sebelum musim hujan pada Mac, kata exco Selangor Izham Hashim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Januari, 2022.

SELANGOR mengenal pasti 45 kawasan cenderung banjir di negeri itu dan mengambil langkah perlu bagi mengelak berulang lagi insiden banjir teruk seperti berlaku pada bulan lalu, kata exco Izham Hashim.

Pengerusi jawatankuasa tetap infrastruktur dan pertanian negeri itu memberitahu The Malaysian Insight kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah banjir sebelum musim hujan pada Mac, dan pada masa sama mengambil langkah jangka panjang untuk masa akan datang.

Beliau berkata dalam mereka menyelesaikan masalah banjir di beberapa kawasan, muncul pula kawasan baharu yang turut terdedah kepada banjir.

Katanya, kawasan ini ada di hampir semua daerah di negeri ini, kecuali di Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

“Kawasan paling teruk ialah Shah Alam, Puchong, Petaling, Gombak, Klang, Hulu Langat dan Kuala Selangor.

“Ia diikuti dengan lebih banyak daerah yang teruk terjejas seperti Sepang dan Kuala Langat,” katanya.

Izham berkata kerajaan negeri fokus kepada kawasan terdedah banjir sedia ada kerana dijangkakan hujan lebat bakal melanda pada Mac.

“Projek tebatan banjir jangka pendek akan membabitkan kerja meluaskan dan mendalamkan sungai dan di kawasan tertentu, kami akan mengukuhkan tebing sungai bagi mengelak air melimpah.

“Projek ini sudah pun berjalan. Ia dijangka siap pada Mac depan. Kami menjangkakan hujan lebat bakal melanda berdasarkan kepada ramalan jabatan meteorology, tetapi tidak selebat ketika tragedy banjir bulan lalu.

“Bagi projek infrastruktur jangka pendek, ia akan siap menjelang Disember.”

Pada 7 Disember lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya meluluskan peruntukan segera lebih RM40 juta bagi projek tebatan banjir.

Katanya, ia termasuk memulihara sungai dan membaiki tebing selain jalan yang rosak akibat banjir baru-baru.

Beliau berkata RM9.18 juta diluluskan bagi membiayai 13 projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, sementara RM31.7 juta untuk projek kritikal seperti membersihkan sisa tnah runtuh supaya jalan terputus boleh dibuka semula.

Amirudin berkata kerja pemulihan dan pembaikan dijangka siap dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Izham berkata pada masa ini Fasa 1 pelan tebatan banjir untuk Hulu Langat dengan kos RM50 juta, sudah hampir siap.

“Kami juga sebelum ini memohon RM500 juta daripada kerajaan persekutuan dan berharap ia diterima untuk Fasa 2 projek ini.

“Projek tebatan banjir Sungai Buloh dengan kos RM40 juta sedang dalam proses dan kami mohon RM500 juta lagi bagi Fasa 2.” – 21 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen