SEBANYAK 52 kluster Covid-19 telah dikesan di sekolah sejak dibuka kepada pelajar tahun ini, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata majoriti kes indeks dalam kluster ini adalah pelajar.
“Daripada 52 kluster pendidikan yang dilaporkan sejak minggu pertama 2022, siasatan mendapati pelajar merupakan kes indeks dalam 44 kluster, guru dan pensyarah adalah kes indeks untuk lima kluster dan kakitangan sokongan pendidikan adalah kes indeks untuk tiga lagi kluster,” kata Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini.
Khairy berkata 30 daripada 52 kluster itu melibatkan sekolah menengah.
Beliau juga berkata 27 daripada 30 sekolah menengah itu adalah sekolah berasrama penuh.
Khairy berkata ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di luar waktu persekolahan menjadi punca utama peningkatan kluster di institusi pendidikan.
“Tidak menggunakan pelitup muka di asrama berada pada tahap optimum, pergerakan bebas pelajar, hubungan rapat pelajar semasa di asrama, tiada penjarakan fizikal ketika waktu solat di surau menjadi faktor peningkatan kluster.
“Pada masa yang sama, pengesanan lewat individu yang mempunyai gejala, pelajar tidak memaklumkan warden apabila mereka mula mengalami gejala, guru yang mempunyai gejala hadir ke sekolah menyebabkan pelajar dijangkiti dan pelajar dikuarantin tidak mematuhi peraturan adalah faktor lain peningkatan kluster pendidikan,” katanya.
Khairy berkata hampir semua negeri kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan telah melaporkan kluster pendidikan.
Khairy berkata kementerian telah memberi penekanan kepada sektor pendidikan untuk menyaring pelajar, guru dan kakitangan sebelum memasuki kawasan sekolah atau institusi.
Selain itu, beliau menggesa pelajar, guru dan kakitangan melakukan ujian RTK-Antigen mengikut strategi ujian Covid-19. Beliau juga berkata penilaian risiko akan mengurangkan penularan jangkitan.
Khairy juga menggesa ibu bapa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka dan menggesa mereka tidak menghantar anak ke sekolah jika mereka menunjukkan sebarang gejala.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat bagi memperkasakan kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 di institusi pendidikan. – 20 Januari, 2022.
Komen