MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dibidas pengguna media sosial selepas mendakwa singa wujud di Malaysia dan orang utan akan membunuh manusia dahulu jika bertemu di dalam hutan.
Zuraida ketika berucap pada satu majlis 5 Januari lalu berkata ‘lebih banyak orang utan bunuh manusia berbanding haiwan itu dibunuh di negara ini’.
“Saya bercakap dengan duta kita di Mekah dan dia memberitahu saya bahawa di sekolah yang pelajarnya pergi, buku-buku itu memaparkan industri minyak sawit kita mendapat tanggapan buruk kerana kita bunuh orang utan.
“Di Malaysia, jika kita jumpa orang utan, orang utan itu akan bunuh kita dulu, bukan kita bunuh orang utan itu,” katanya melalui satu rakaman video yang tular di media sosial.
Bekas ahli PKR itu seterusnya menjelaskan bahawa terdapat prosedur apabila berhadapan dengan hidupan liar di dalam hutan sebelum mengatakan terdapat singa di Malaysia.
“Anda fikir mereka (Perhilitan) dengan mudah akan bunuh orang utan? Begitu juga dengan singa dan harimau. Mereka tidak bunuh haiwan-haiwan ini. Ada prosedur tertentu menguruskannya.
“Anda boleh tanya Perhilitan. Mereka boleh beritahu berapa banyak orangutan di negara ini, berapa yang sudah mati, berapa masih hidup dan di mana haiwan-haiwan ini,” tambahnya.
Orang kuat PKR Rafizi Ramli secara sinis berkata gurunya di sekolah berbohong mengenai orang utan dan singa.
Bekas ahli Parlimen itu menambah bahawa banyak benda boleh belajar dari menteri-menteri yang bijak.
Rakan partinya dari Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Zuraida sebagai membingungkan.
“Ia menjadi lebih teruk. Tuhanku,” tulisnya sebelum menambah ciapan lain yang menyatakan: “Menteri ini hebat. Hebat betul! Orang utan akan membunuh kamu dahulu. Malaysia mempunyai ‘singa’!!”
Seorang lagi ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menyindir bekas ahli partinya, tertanya-tanya sama ada sesiapa telah mengimport singa ke dalam hutan Malaysia.
“Saya pasti boleh mengesahkan tiada singa di dalam hutan SEA. Kecuali kalau baru di import semalam.”
Pertubuhan pemuliharaan alam sekitar Zoologi Malaysia turut menyindir menteri itu dengan meminta Zuraida menonton lebih banyak dokumentari mengenai orang utan.
“Kami berharap menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menonton dokumentari tentang khazanah negara kita - orang utan.”
Pendahulu Zuraida, Teresa Kok dalam pada itu menggesa ahli Parlimen Ampang mempercepatkan projek konservasi hijau di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia sebagai strategi untuk menangkis pelbagai tuduhan palsu yang disebarkan oleh negara asing terhadap minyak sawit.
“Saya harap pengalaman Zuraida di negara Arab akan membuatkan beliau memahami dan menerima pakai dasar saya yang telah digubal sebelum ini untuk menghentikan dan menyekat pengembangan ladang kelapa sawit di Malaysia dan menggunakan dana ses murah industri minyak sawit di bawah Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk menanam semula pokok hutan dan menjalankan projek pemuliharaan hijau yang lain sambil menjaga hidupan liar yang terjejas oleh aktiviti manusia ini.
“Selepas saya meninggalkan kementerian, saya kesal melihat perkembangan perlahan dalam penanaman semula pokok hutan di 2,500 hektar hutan terdegradasi di Hilir Kawag di daerah Lahad Datu, Sabah; serta projek menanam lebih banyak rumput gajah dan untuk mewujudkan koridor gajah di wilayah utara Sabah,” kata ahli Parlimen Seputeh itu. – 20 Januari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen