PEMERIKSAAN wajib suhu badan di premis akan dikeluarkan tidak lama lagi daripada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Khairy Jamaluddin hari ini.
Menteri Kesihatan berkata individu hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan MySejahtera mereka untuk mendaftar masuk di mana-mana premis.
“Kementerian telah bersetuju untuk menghapuskan pemeriksaan suhu sebagai sebahagian daripada SOP di seluruh negara.
“Cadangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet Menteri-menteri dan selepas meminda SOP, premis tidak akan diwajibkan untuk mempunyai pengimbas suhu,” kata Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini.
Pengimbas suhu menjadi sebahagian daripada SOP sejak permulaan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, baru-baru ini ada yang mempersoalkan penggunaan pengimbas suhu di premis kerana kebanyakan kes baharu adalah tanpa gejala atau bergejala ringan.
Khairy menambah kementerian juga bercadang untuk menghapuskan penggunaan buku log di premis, yang mana seseorang perlu menulis butiran peribadi seperti nama dan bacaan suhu. – 20 Januari, 2022.
Komen