Polis Britain tahan 2 lelaki berhubung serangan di Texas 


Polis Britain menahan dua lelaki terbabit di Birmingham di tengah England dan di Manchester di barat laut England pada Khamis.– Gambar EPA, 20 Januari, 2022.

POLIS Britain pada Khamis menahan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam serangan di sebuah rumah ibadat di Texas hujung minggu lalu. 

Lelaki terbabit ditangkap di Birmingham di tengah England dan di Manchester di barat laut England pada Khamis oleh pegawai anti keganasan, kata Polis Greater Manchester menerusi Twitter.

Suspek itu kini ditahan untuk disoal siasat oleh Counter Terrorism Policing North West.

Seorang lelaki dari Blackburn di barat laut England, Malik Faisal Akram, 44 tahun, ditembak mati semasa pengepungan selama 10 jam dalam kejadian Sabtu lalu. Empat tebusan termasuk seorang rabbi semuanya dibebaskan tanpa sebarang kecederaan.

Menurut laporan media Akram pernah disiasat pada 2020 oleh agensi keselamatan Britain MI5, yang menutup siasatan kerana kekurangan bukti.

Laporan mengatakan, suspek menuntut pembebasan Aafia Siddiqui, seorang saintis saraf Pakistan yang dikenali sebagai “Lady Al-Qaeda,”.

Polis UK turut menahan dua remaja dan menggeledah sebuah kediaman di Manchester kira-kira 34 kilometer dari Blackburn berhubung namun itu tetapi membebaskan mereka tanpa pendakwaan.– AFP, 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen