SYARIKAT biofarmaseutikal China, Sinovac akan bekerjsama dengan syarikat Mesir, Vacsera bagi membina fasiliti penyimpanan vaksin di ibu kota Mesir, Kaherah.
Menurut perjanjian yang ditandatangani secara hibrid pada Rabu, Sinovac akan membina fasiliti penyimpanan sejuk automatik dengan kapasiti mencecah 150 juta dos vaksin.
Difahamkan, selepas selesai dibina, ia bukan sahaja menjadi pusat simpanan vaksin terbesar di Mesir, bahkan terbesar di seluruh rantau Afrika.
Pada upacara pemeteraian kerjasama itu, Duta Besar China ke Mesir, Liao Liqiang turut mengumumkan pemberian sumbangan vaksin Covid-19 kepada Mesir dalam usaha mencapai 70 peratus penduduk lengkap divaksin menjelang pertengahan tahun ini.
Turut hadir pada upacara tersebut adalah pemangku Menteri Kesihatan dan Populasi Mesir, Khaled Abdel-Ghaffar yang turut menzahirkan penghargaan kepada China atas bantuan dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Langkah China menderma vaksin kepada Mesir menggambarkan keazaman kedua-dua negara untuk bekerjasama berjuang melawan pandemik, sekali gus memperlihat persahabatan yang ikhlas antara rakyat China dengan rakyat Mesir,” ujar beliau.
Jelas Khaled, Mesir bersedia mempertingkat kerjasama dengan China dalam bidang pengeluaran vaksin tempatan, pemindahan teknik dan penyelidikan serta pengeluaran ubat-ubatan, agar dapat menyumbang kepada usaha mendepani pandemik Covid-19. – Bernama, 20 Januari, 2022.
Komen