Anwar gesa moratorium aktiviti pembalakan dikuatkuasakan


Chan Kok Leong

Bentong, Mentakab dan Temerloh antara kawasan terjejas teruk akibat banjir di Pahang baru-baru ini di mana keseluruhan rumah musnah kerana bah yang turut menghanyutkan kayu balak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2022.

PUTRAJAYA perlu menghentikan semua aktiviti pembalakan hingga kajian sempurna dilakukan bagi memastikan ia selamat kepada alam sekitar, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

“Perlu ada moratorium untuk menghentikan semua pembalakan termasuk bagi yang sudah pun mendapat kelulusan,” katanya di Parlimen hari ini.

Anwar turut menggesa kerajaan berhenti memberikan lesen pembalakan kepada sesiapa sama ada mereka ada pengaruh politik atau tidak.

“Parlimen bersedia untuk menyokong inisiatif seumpama itu bagi memastikan ia tidak berterusan.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pembalakan berhampiran Sg Gapur, Sg Telemong dan selatan Karak sudah mencecah paras membimbangkan dan menjejaskan kawasan berhampiran Karak dan Bentong.

Bentong, Mentakab dan Temerloh antara kawasan terjejas teruk akibat banjir di Pahang baru-baru ini di mana keseluruhan rumah musnah kerana bah yang turut menghanyutkan kayu balak.

“Kerajaan perlu memberikan semua maklumat berkenaan lesen pembalakan yang sudah diberikan oleh kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu, termasuk negeri perdana menteri iaitu Pahang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika membahaskan berkenaan bencana banjir bulan lalu yang turut meragut 55 nyawa selain menyebabkan kerugian berjuta ringgi kepada negara.

Katanya, banjir terutama di Pahang bukan saja kerana hujan lebat tetapi berpunca daripada pembalakan.

Menurut Fuziah Salleh (Kuantan-PH), 19 lesen pembalakan dikeluarkan di Pahang tahun lalu.

“Tetapi bila saya minta jabatan alam sekitar negeri beri salinan laporan penilaian kesan alam sekitar, mereka tidak mahu keluarkan.

“Bukankah jabatan alam sekitar Pahang sepatutnya dedah siapa yang dapat lesen ini supaya mangsa banjir boleh tuntut kerugian daripada mereka?,” kata Fuziah.

Parlimen mengadakan sidang khas hari ini bagi membincangkan respons dan tindakan kerajaan ketika banjir yang menjejaskan puluhan ribu rakyat Malaysia, bulan lalu dengan 55 kematian direkodkan dan kerugian membabitkan ratusan juta ringgit. – 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen