MALAYSIA melaporkan peningkatan jangkitan koronavirus apabila negara mencatatkan 3,764 kes baharu setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah kes yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 21 hari lalu.
Pada 30 Disember 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan 3,997 kes.
Jumlah jangkitan Covid-19 sejak bermulanya wabak kini mencecah 2,820,927.
Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik di laman web CovidNow selepas tengah malam.
Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan di seluruh negara berada pada 1.0.
Sebanyak 22.91 juta atau 97.9% daripada populasi dewasa lengkap vaksinasi, manakala 23.19 juta individu atau 99.1% daripada kumpulan ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2.78 juta individu atau 88.2% sudah lengkap divaksin, manakala 2.86 juta individu atau 90.9% menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 20 Januari, 2022.
Komen