PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan negara anggotanya pada Rabu supaya menarik balik atau melonggarkan larangan perjalanan antarabangsa meskipun pandemik Covid-19 masih dianggap membimbangkan, lapor Xinhua.
Jawatankuasa Kecemasan WHO membentangkan beberapa cadangan kepada ketua pengarah WHO, yang memutuskan bahawa pandemik Covid-19 terus menjadi kebimbangan terhadap kesihatan awam di peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa itu berkata bahawa bukti vaksinasi terhadap Covid-19 tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya cara atau syarat membenarkan perjalanan antarabangsa memandangkan akses global yang terhad dan pengedaran vaksin Covid-19 yang tidak saksama.
Ia juga menasihatkan negara untuk menjalankan siasatan epidemiologi terhadap penularan SARS-CoV-2 di antara manusia-haiwan serta pengawasan terhadap perumah haiwan yang berpotensi.
Jawatankuasa itu meminta pemantauan serta perkongsian data jangkitan dengan rekod masa sebenar, penularan dan evolusi SARS-Cov-2 dalam haiwan, menegaskan bahawa data berkenaan akan membantu memberi kefahaman global serta mengenal pasti virus tepat pada masanya, dan penilaian risiko kesihatan awam. – Bernama, 20 Januari, 2022.
Komen