PARLIMEN tidak akan membincangkan isu kontroversi Azam Baki kerana ia tiada dalam agenda dalam sidang khas hari ini, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
“Walaupun saya menerima usul (untuk membahaskan isu kontroversi Azam) peraturan hari ini sudah pun ditetapkan oleh kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3).
“Memandangkan saya tidak menerima sebarang arahan baharu, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengubahnya dan kita akan meneruskan agenda yang ditetapkan,” kata Azhar kepada Dewan Rakyat selepas perkara itu dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang.
Antara yang membangkitkan isu itu ialah Salahuddin Ayob (Pulai-PH), Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) dan Gobind Singh Deo (Puchong-PH).
Menjelang sesi hari ini, Nga dan Salahuddin mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan isu kontroversi melibatkan Azam yang mengaku membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangnya untuk memperoleh saham.
Isu itu dibangkitkan selepas didedahkan yang Azam memiliki 2,156,000 saham dalam Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016.
Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada Selasa berkata ia “tidak dapat memastikan secara konklusif” sama ada ketua pesuruhjaya SPRM itu melanggar undang-undang dalam membenarkan akaun dagangnya digunakan oleh adik beliau bagi saham yang dibeli pada 2015 dan 2016.
Bagaimanapun, semalam SC menjelaskan kenyataannya dengan mengatakan tiada sesiapa kecuali Azam memiliki dan menggunakan akaun sahamnya, mempertikaikan dakwaan ketua pesuruhjaya agensi antirasuah yang ia digunakan adiknya.
Susulan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan SC mengenai akaun dagang Azam harus diterima oleh semua pihak.
Terdahulu, Azhar berkata sidang khas hari ini akan dimulakan dengan Ismail Sabri memberi taklimat kepada Parlimen mengenai situasi banjir di negara ini.
Ini akan diikuti dengan taklimat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN).
Latiff akan memberi taklimat kepada Parlimen mengenai langkah bantuan banjir manakala Tengku Aziz akan bercakap mengenai bantuan kewangan yang diberikan kepada mangsa banjir.
Sementara Tuan Ibrahim akan memberi taklimat kepada Parlimen mengenai rancangan tebatan banjir jangka panjang.
“Selepas itu, ahli Parlimen akan dibenarkan mengemukakan soalan kepada kerajaan dan menteri akan menjawab selepas itu.
“Tidak akan ada rehat hari ini untuk membenarkan seramai mungkin ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan,” kata Azhar.
Sidang khas itu diadakan selepas banjir melanda negara pada 18 Disember yang meragut 54 nyawa manakala dua lagi masih hilang.
Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, dengan 25 kes, diikuti Pahang (21), Kelantan (4), Sabah (3) dan Negeri Sembilan (1). – 20 Januari, 2022.
Komen