MALAYSIA mencatatkan 13 kematian baharu Covid-19 semalam, meningkat empat kes berbanding sembilan kematian yang dicatatkan sehari sebelumnya, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Daripada 13 kematian itu, tiga kes diklasifikan kematian di luar hospital.
Semua kematian adalah kes tertunda yang dipaparkan pada portal GitHub KKM.
Kematian yang dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan negara kepada 31,831, dengan 6,420 diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital.
Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari tertentu dan ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan oleh Covid-19.
Mengenai pecahan kematian mengikut negeri, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan dua kematian, manakala Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor masing-masing melaporkan satu kematian.
Tiada kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di Pahang, Perak, Sarawak, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Tiga kes kematian di luar hospital dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan dan Sabah.
Kadar kematian Covid-19 domestik adalah pada 0.5%, manakala purata kematian akibat jangkitan adalah lima bagi setiap sejuta orang. – 20 Januari, 2022.
Komen