Suhu bumi pada 2021 antara tertinggi dalam 7 tahun, kata PBB


Menurut WMO walaupun terdapat fenomena La Nina dua kali berturut-turut, namun 2021 masih berada di kedudukan antara tujuh tahun yang merekodkan suhu tertinggi. – Gambar EPA, 19 Januari, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan suhu bumi direkodkan meningkat dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini dengan 2021 adalah yang tertinggi biarpun terdapat kesan penyejukan susulan fenomena La Nina.

“Tujuh tahun paling panas sejak 2015,” menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia PBB (WMO) dalam satu kenyataan.

Malah, menurut WMO walaupun terdapat fenomena La Nina dua kali berturut-turut, namun 2021 masih berada di kedudukan antara tujuh tahun yang merekodkan suhu tertinggi.

“Fenomena La Nina berturut-turut bermakna pemanasan 2021 secara relatifnya kurang ketara berbanding tahun-tahun kebelakangan ini. Namun, 2021 masih lebih panas berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dipengaruhi La Nina,” kata Ketua WMO Petteri Taalas dalam kenyataan itu.

Ini, katanya, menunjukkan “pemanasan jangka panjang keseluruhan akibat peningkatan gas rumah hijau kini jauh lebih besar berbanding kebolehubahan tahun ke tahun dalam suhu purata global yang disebabkan perubahan iklim secara semula jadi.”

La Nina merujuk kepada penyejukan suhu permukaan berskala besar di tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, dengan kesan meluas terhadap cuaca di seluruh dunia.

Fenomena itu, yang lazimnya mempunyai kesan bertentangan seperti fenomena pemanasan El Nino, biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun, tetapi kini telah melanda dua kali sejak 2020.

WMO mencapai kesimpulan dengan menggabungkan enam set data antarabangsa terkemuka, termasuk pemantau iklim Copernicus Kesatuan Eropah (C3S) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, yang mengumumkan penemuan serupa minggu lalu.

Set data itu menunjukkan bahawa purata suhu global pada 2021 adalah sekitar 1.11 darjah Celsius melebihi paras pra-industri yang diukur antara 1850 dan 1900.

Menurut set data yang dikeluarkan, 2021 juga menandakan tahun ketujuh berturut-turut suhu global melebihi 1 darjah Celsius sekali gus melebihi paras pra-industri.

WMO memberi amaran bahawa purata suhu global pada 2021 sudah menghampiri had kenaikan suhu lebih rendah yang ingin dielakkan ketika Perjanjian Paris.

Perjanjian Paris pada 2015 menyaksikan negara-negara bersetuju untuk mengehadkan pemanasan global “di bawah” 2 darjah Celsius, dan 1.5 darjah Celsius jika boleh.

WMO menegaskan suhu panas sejak tujuh tahun lalu adalah sebahagian daripada trend jangka panjang ke arah suhu global lebih tinggi.

“Sejak 1980-an, setiap dekad lebih panas berbanding dekad sebelumnya,” katanya. – AFP, 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen