BRAZIL mencatatkan jumlah rekod baharu kes Covid-19 harian melebihi 137,000, menurut angka oleh kementerian kesihatan pada Selasa.
Negara Amerika Selatan dengan 213 juta penduduk itu antara yang paling teruk terjejas di dunia oleh pandemik itu.
Lebih 620,000 kematian akibat virus itu, yang kedua selepas Amerika Syarikat (AS).
Kes telah meningkat di Brazil sejak awal tahun ini disebabkan oleh varian Omicron selain kerana perayaan Krismas dan Tahun Baharu.
Purata kes baharu harian pada penghujung 2021 hanya sekitar 8,000.
Paras tertinggi sebelum ini dari Jun 2021 adalah lebih daripada 115,000 kes dalam tempoh 24 jam.
“Puncaknya mungkin pada Februari apabila keadaan kembali stabil,” kata pakar epidemiologi Ethel Maciel dari Universiti Persekutuan Espirito Santo kepada AFP.
Terdapat kebimbangan peningkatan kes boleh memberi kesan kepada sambutan karnival pada hujung Februari.
Sambutan karnival jalanan di bandar utama Sao Paulo, Rio de Janeiro dan Salvador telah pun dibatalkan berikutan kebimbangan Covid-19.
Kedua-dua Rio dan Sao Paulo masih berharap untuk mengekalkan perarakan berwarna-warni di kawasan luar “Sambadrome” mereka kerana stadium tersebut memperkenalkan protokol virus yang lebih ketat daripada jalan terbuka.
“Perkhidmatan kesihatan awam sudah berada di bawah banyak tekanan dan dua minggu akan datang bakal menjadi penentu untuk melihat kesan jangkitan daripada sambutan Tahun Baharu terhadap kemasukan ke hospital,” kata Maciel.
Beliau tidak menjangka gelombang Omicron terbukti mematikan seperti varian sebelumnya.
Hampir 70 peratus rakyat Brazil diberi vaksin sepenuhnya dan imunisasi kanak-kanak seawal usia lima tahun bermula minggu ini, walaupun dibantah Presiden Jair Bolsonaro. – AFP, 19 Januari, 2022.
Komen