SEJAK slogan Wawasan 2020 dilontarkan Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri (1981-2003), setiap penyandangnya selepas itu juga cuba melaungkan slogan unik masing-masing untuk menambat hati rakyat.
Namun slogan kekal sekadar slogan, terbantut oleh skandal yang membayangi janji mereka atau ketidakupayaan untuk memberi makna kepada kata-kata itu.
Slogan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga sama kerana tindakan pelaung slogan tidak sampai dan tidak dapat menyamai citra sebuah keluarga, kata pemerhati politik.
Kes yang dimaksudkan; pentadbirannya gagal kawal isu hak masyarakat minoriti seperti penjualan arak dan yang terbaharu kurangnya perundingan dan kepekaan terhadap masyarakat Hindu berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk Thaipusam.
Slogan perdana menteri terdahulu
Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) memperkenalkan Islam Hadhari manakala penggantinya Najib Razak (2009-2018) melaungkan slogan 1Malaysia sehingga ia dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Apabila Dr Mahathir kembali sebagai perdana menteri pada 2018, kerajaan baharu Pakatan Harapan menggunakan slogan Malaysia Baharu. Namun slogan itu tidak sempat bermain diminda rakyat apabila kerajaan itu dijatuhkan angkara pembelotan, meninggalkan Malaysia Baharu begitu sahaja.

Pengganti Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin (2020-2021) juga muncul dengan slogannya sendiri namun kerana gagal kawal pandemik Covid-19, orang ramai menukar slogan Kerajaan Prihatin ahli Parlimen Pagoh itu kepada Kerajaan Gagal.
Tidak hairanlah Muhyiddin terus letak jawatan hanya selepas 17 bulan.
Berikutan peletakan jawatannya, Ismail Sabri memperkenalkan Keluarga Malaysia dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri. Sepanjang pilihan raya negeri di Melaka dan Sarawak, Ismail Sabri cuba-cuba menggunakan slogan itu.
Malah pengumuman yang dibuat oleh anggota kabinetnya diwarnai dengan slogan Keluarga Malaysia, bagi menunjukkan yang kerajaannya prihatin dan membuat keputusan seperti sebuah keluarga.
Tidak nampak
Walaupun menang pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak dengan slogan itu, penganalisis berkata Keluarga Malaysia belum benar-benar memberi impak.
“Berbanding slogan 1Malaysia, Keluarga Malaysia Ismail Sabri tidak ada usaha ketara,” kata Dr Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Kurang nampak Keluarga Malaysia,” kata pensyarah sains politik itu.
Sebagai perbandingan, slogan 1Malaysia Najib, yang didakwa dibuat mengikut acuan One Israel, mempunyai lebih banyak masa dan program sebenar yang “melaksanakan” slogan itu sebelum skandal 1MDB mengambil alih, kata Lau.
“Semasa pentadbiran Najib, ada klinik 1Malaysia, kedai diskaun seperti Kedai 1Malaysia walaupun ia juga gagal, tetapi anda tidak nampak itu dengan Keluarga Malaysia.
“Satu-satunya masa Keluarga Malaysia menonjol adalah ketika kempen pilihan raya dan mungkin juga tentang barangan bantuan banjir. Tetapi pek bantuan banjir itu sendiri dibayangi kelewatan respons kerajaan untuk tolong mangsa banjir,” kata Lau.

Tentang isi
Lebih-lebih lagi, Lau berkata Ismail Sabri mengendalikan isu agama dan kaum seperti episod wiski Timah atau sekatan baharu untuk menyekat penjualan alkohol di kedai kopi dan tempat lain, atau penutupan kedai judi di Kedah, sekali gus menjadikan Keluarga Malaysia slogan pincang.
“Kebiasaannya Ismail Sabri main isu Bumiputera semasa melemparkan slogan Keluarga Malaysia, beliau perlu berhenti elak isu kontroversi apabila ia timbul.
“Setakat ini, beliau berdiam diri dalam perkara seperti itu,” kata Lau.
Profesor Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi juga tidak terpesona dengan slogan kebangsaan itu.
“Slogan kebangsaan mesti melangkaui kepentingan politik agar ia diterima oleh orang ramai,” kata pensyarah pengajian etnik Melayu itu.
“Tetapi perubahan dalam kepimpinan baru-baru ini telah menjadikan slogan sebegitu kelihatan lebih politik berbanding kebangsaan,” kata Awang Azman.
Oleh itu, penganalisis kelahiran Sarawak itu menyatakan slogan itu tidak banyak memberi kesan.
Dari satu segi, slogan Wawasan 2020 Dr Mahathir lebih diterima oleh rakyat kerana ia menangkap imaginasi orang ramai apabila ia diperkenalkan, walaupun ia gagal mencapai objektifnya dua tahun lepas.
Orang ramai terima Wawasan 2020 kerana ia melibatkan mereka dan memberi mereka harapan untuk masa depan mereka, kata Awang Azman.
“Kita tidak nampak itu dengan Keluarga Malaysia. Jika Keluarga Malaysia tidak boleh berbuat demikian (memberi harapan kepada orang ramai tentang masa depan mereka), ia akan gagal juga macam yang lain,” katanya. – 19 Januari, 2022.
Komen