Guan Eng tanya SC jika adik Azam Baki ada akaun saham


Noel Achariam

Bagaimana SC mampu menjalankan tugas berkanunnya jika tidak dapat merumuskan kes Azam Baki, soal Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

LIM Guan Eng hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang tidak mendedahkan sama ada adik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mempunyai akaun urus niaga saham. 

Setiausaha agung DAP itu turut mendesak SC menjelaskan sama ada urus niaga proksi dilakukan serta sumber dana pembelian saham itu. 

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Azam adalah antara pemilik waran utama dalam syarikat disenaraikan dalam pasaran saham, Excel Force MSC Sdn Bhd pada Mac 2016, dan ketika itu beliau adalah ketua jabatan siasatan SPRM.

“Di dalam akaun urus niaga sahamnya, Azam membeli berjuta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam dengan nilai lebih daripada takat RM100,000 pemilikan ekuiti dibenarkan dipegang oleh penjawat awam.

Kenyataan Lim adalah reaksi kepada keputusan SC hari ini yang mereka tidak dapat menentukan sama ada Azam melanggar sebarang peraturan dengan membenarkan akaun urus niaga sahamnya digunakan adiknya. 

Azam didakwa memiliki 2.15 juta saham di dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham di dalam Gets Global Sdn Bhd pada tahun sama serta 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya. 

Bagaimanapun, ketua SPRM itu mendakwa yang beliau membenarkan adiknya, Nasir, untuk menggunakan akaun urus niaga sahamnya untuk membeli saham kedua-dua syarikat itu. 

Kebimbangan awam kes itu berpunca daripada sama ada Azam ada mengisytiharkan saham tersebut kerana beliau adalah penjawat awam serta penjelasan sumber dana untuk pembelian itu. 

Lim turut mempersoalkan bagaimana SC boleh melaksanakan tugas berkanunnya jika mereka tidak dapat memutuskan yang Azam melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Seksyen 25 memperuntukkan yang sebarang akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

Tambah Lim, Azam pula secara terbuka mengakui yang beliau membenarkan adiknya untuk melakukan urus niaga saham secara proksi.

“Seperti semua pasaran modal membangun dunia, Seksyen 25 (4) Sicda mengharamkan perkongsian proksi urus niaga sama dengan menetapkan sesuatu akaun urus niaga sama perlu dibuka atas nama pemilik akaun atau penama yang diberi kuasa.

“Dalam kenyataan mereka hari ini, SC tidak mendedahkan sama ada adik Azam memiliki akaun urus niaga pada ketika itu, serta keperluan untuk urus niaga saham secara proksi dan sumber dana untuk pembelian saham itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.– 18 Januari, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen