KAWASAN hutan simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar yang diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran mendapat kelulusan membalak kawasan seluas 80 hektar oleh pihak berkuasa negeri pada 2018.
Pengarah Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) Mohamed Zin Yusop, berkata berdasarkan rekod, aktiviti pembalakan dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada 2019 dan tamat pada 2020.
“Aktiviti pembalakan dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan pihak jabatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Zin berkata, pihaknya berpandangan dakwaan pengguna Facebook yang memuat naik hantaran ‘hutan simpan pun boleh dapat lesen untuk tarah’ sehingga tular baru-baru ini, adalah satu kenyataan lama yang pernah dimuat naik pada 2019 dan ditularkan semula oleh warganet.
“Jabatan ini berpandangan pengadu keliru dengan istilah hutan simpan kekal yang pada anggapan pengadu aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan.
“Anggapan beliau (pengadu) tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan,” jelas beliau.
Mohamed Zin berkata, di Perak terdapat kira-kira 987,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau berkata, hutan simpan kekal itu diurus berasaskan kepada prinsip pengurusan hutan secara berkekalan dan bagi tujuan itu, hutan simpan kekal ini diklasifikasikan kepada hutan pengeluaran sebanyak 51% dan hutan perlindungan sebanyak 49%.
“Hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan manakala hutan perlindungan pula bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar, bekalan air mentah serta perlindungan hidupan liar,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dilaporkan berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima laporan berkaitan aktiviti pembalakan itu dan tidak menolak kemungkinan ia gambar lama.
Baru-baru ini tular beberapa keping gambar menunjukkan batang pokok ditebang dan ditarah yang didakwa berlaku di hutan simpan Kledang Saiong. – Bernama, 18 Januari, 2022.
Komen