DAP hari ini berkata Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor perlu tarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada penganut Kristian berhubung kenyataan yang menjadikan gereja sebagai contoh tempat penyebaran fitnah.
Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata, Tengku Adnan tidak sepatutnya menyebut gereja, walaupun sekadar memberikan contoh.
“Dalam keharmonian beragama dan saling menghormati antara perbezaan kepercayaan, adalah salah untuk menyebut gereja walaupun dia hanya gunakan sebagai contoh.
“Ia hanya akan membawa kepada tanggapan negatif terhadap gereja, terutama apabila semua tempat penyembahan agama dijadikan tempat untuk menyebarkan kebenaran mengenai agama mereka dan bukannya fitnah atau berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Adnan dilaporkan berkata gereja sepatutnya menjadi tempat “menyebarkan ajaran Tuhan” dan bukan tempat pemimpin Kristian berkongsi ketidakpuasan hati peribadi mereka atau menyebaran fitnah.
Kenyataannya menarik perhatian. Beberapa jam kemudian beliau berkata kenyataannya disalahertikan, dan menyatakan beliau hanya menasihatkan gereja untuk membataskan aktiviti mereka kepada agama dan mengelakkan daripada menyebarkan fitnah, yang akan menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.
Katanya, beliau hanya merujuk kepada gereja sebagai contoh, kerana mesejnya juga ditujukan kepada semua rumah ibadat termasuk masjid, surau dan kuil.
Turut menyatakan ketidakpuasan hari Majlis Gereja dengan kenyataan Tengku Adnan, Lim berkata tiada agama yang sepatutnya disebut, walaupun sebagai contoh, kerana ia akan menimbulkan keraguan dan ketidakpercayaan terhadap Kristian.
Katanya, sebelum ini, Kristian pernah berdepan dengan dakwaan salah bahawa gereja menukar agama orang Islam.
“Ini sebabnya penting untuk Tengku Adnan menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan yang menggunakan gereja sebagai contoh, untuk menunjukkan rasa hormatnya terhadap kebebasan beragama.
“Rakyat Malaysia perlu meraikan kepelbagaian dengan turut menghargai sumbangan komuniti agama dalam membantu negara menjadi apa yang dikecap sekarang dengan mempromosikan keadilan, keamanan dan keharmonian,” kata ketua menteri Pulau Pinnang yang juga ahli Parlimen Bagan itu. – 5 Februari, 2018.
Komen