CHINA mencatat jumlah kes Covid-19 tertinggi hari ini sejak Mac 2020 dalam keadaan Beijing sedang bergelut untuk meredakan penularan jangkitan menjelang Sukan Olimpik musim sejuk yang hanya berbaki tiga minggu.
China, negara yang dikesan muncul virus itu pada hujung 2019, melakukan pendekatan ketat dalam usahanya mencapai kes sifar Covid-19 ketika kebanyakan negara sudah mula membuka semua sektor.
Bagaimanapun, pendekatannya mencetus masalah berterusan dalam beberapa minggu kebelakangan dengan pelbagai kluster di seluruh negara ketika temasya itu akan berlangsung di Beijing.
Hari ini, sebanyak 223 kes baharu dilaporkan di China termasuk 80 lagi di bandar pelabuhan Tianjin dan sembilan kes termasuk kes yang disebabkan penularan varian Omicron di selatan hub perkilangan di Guangdong.
Ada kalangan atlet dan pegawai pengiring sudah mula tiba di Beijing menjelang temasya sukan menerusi gelembung yang dikawal ketat termasuk mengasingkan mereka dengan penduduk tempatan.
Bagaimanapun, selepas ada kes positif membabitkan warga tempatan di Beijing dikesan hujung minggu lalu, menyebabkan pihak berkuasa semakin mengetatkan peraturan bagi mereka yang tiba di ibu negara itu dari tempat lain di China.
Bandar itu kini mewajibkan keputusan ujian negatif sebelum perjalanan dan ujian susulan lain selepas memasuki bandar, dengan penduduk digesa tidak meninggalkan bandar bagi cuti Tahun Baru Cina yang akan datang.
Beberapa pusat pelancongan di ibu negara juga ditutup. – AFP, 17 Januari, 2022.
Komen