Trend peningkatan kes Covid-19 minggu kedua epidemiologi, kata KP kesihatan


Penjarakan sosial antara elemen penting bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

MALAYSIA merekodkan trend peningkatan terhadap purata kes aktif Covid-19 bagi minggu epidemiologi kedua (ME 2/2022) dari 9 hingga 15 Januari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, purata kes aktif meningkat sebanyak 2.4% kepada 39,507 kes pada ME 2/2022 berbanding 38,581 kes pada ME pertama (ME 1/2022) (2 hingga 8 Januari).

“Peningkatan 0.7% turut direkodkan ke atas kes baharu iaitu daripada 21,859 kes (ME 1/2022) kepada 22,006 kes (ME 2/2022).

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan konsisten sebanyak 11.3% dengan 126 kematian pada ME 2/2022 berbanding 142 kematian pada ME 1/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan 8% kepada 185 kes (ME 2/2022) berbanding 201 kes (ME 1/2022), dengan penurunan berterusan secara konsisten itu dilaporkan sejak sembilan minggu lalu pada ME 45/2021.

Beliau berkata, kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 18.1% kepada 68 kes (ME 2/2022) berbanding 83 kes (ME 1/2022), dengan purata itu kekal menunjukkan penurunan sejak 21 minggu lalu pada ME 33/2021.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 15 daripada 43 kluster baharu yang dilaporkan pada ME 2/2022 membabitkan pusat pendidikan, 10 (tempat kerja), 9 (komuniti), 5 (kumpulan berisiko tinggi), 3 (import) dan 1 (keagamaan).

“Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400% dan 350% pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula pada 9 Januari.

“Peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka dan seterusnya merebak ke komuniti,” katanya.

Mengenai kapasiti hospital, Dr Noor Hisham memaklumkan penggunaan katil bukan ICU dan katil di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) menunjukkan peningkatan pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022, sementara penggunaan katil ICU dan alat bantuan pernafasan pula menunjukkan penurunan 2% dalam tempoh sama.

Sementara itu, sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang peningkatan kes dalam masa terdekat susulan kebolehjangkitan tinggi bagi varian Omicron, beliau berkata, Kementerian Kesihatan bersiap sedia untuk menggunakan hospital daerah sebagai hospital hibrid untuk merawat pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 3.

Selain itu, KKM juga bersedia merujuk pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 ke hospital pakar dan pesakit Covid-19 yang stabil pula akan dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) hingga selesai tempoh pengasingan selain akan menggunakan ubat antiviral yang dikenal pasti lebih awal di peringkat CAC dan PKRC. – Bernama, 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen