Bekas timbalan speaker kemuka usul bahas isu Azam Baki di Parlimen


Chan Kok Leong

Nga Kor Ming berkata isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki adalah mendesak dan mempunyai kepentingan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

BEKAS timbalan speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) mengemukakan usul tergempar untuk Parlimen membahaskan isu pegangan saham kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam sebuah syarikat.

Dalam usul bertarikh hari ini, Nga berkata isu itu mendesak dan mempunyai kepentingan awam di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) (2) dan perlu dibahaskan di Parlimen sehingga siasatan terhadap Azam selesai.

Nga berkata Ketua Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai Rasuah Rais Yatim juga menggesa Azam bercuti sehingga siasatan selesai.

Nga adalah ahli Parlimen kedua yang memfailkan usul ini selepas usul R Sivarasa (Sg Buloh-PH) pada 14 Disember.

Dalam usul itu, Sivarasa turut meminta Speaker Azhar Azizan Harun membenarkan Parlimen membincangkan isu itu. Bagaimanapun, ditolak Azhar.

Minggu lalu, Suruhanjaya Sekuriti berkata ia akan memanggil Azam bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan adiknya menggunakan akaun dagangnya untuk membeli saham.

Pengawal selia itu dalam satu kenyataan berkata ia akan “berhubung dengan pihak terlibat untuk mendapatkan penjelasan dan bagi mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang relevan” selepas Azam berkata adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham.

Selain itu, Azam juga dijadual bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Rabu bagi menjelaskan pegangan sahamnya dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen