Kerugian akibat banjir cecah RM6.5 bilion


Penilaian impak banjir di 50 daerah di Malaysia pada Disember menganggarkan kerugian yang dialami antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion, menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

PENILAIAN impak disebabkan banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia pada bulan lepas (Disember) menganggarkan kerugian yang dialami adalah antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion, demikian menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, kerugian melibatkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah yang tertinggi iaitu RM2 bilion.

Kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion; kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion; pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion); premis perniagaan (RM500 juta hingga RM600 juta); dan pertanian (RM40.9 juta hingga RM49.9 juta).

“Ini anggaran, saya minta DOSM untuk memurnikan angka ini. Ini tugas perangkaan iaitu buat anggaran, maka dari segi bantuan kami cuba sesuaikan dengan jumlah kehilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 hari ini.

Mengenai HIES/ BA 2022 itu, Mustapa berkata survei berkenaan dilaksanakan secara temu ramah bersemuka melibatkan kira-kira 93,000 isi rumah atau 500,000 penduduk di seluruh negara, bermula pada Januari hingga Disember nanti.

Antara objektif survei adalah untuk mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan dan  perbelanjaan isi rumah; menyediakan statistik kemiskinan terutamanya kadar kemiskinan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran, katanya.

“Ia membantu kerajaan merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin yang turut hadir berkata dapatan survei HIES/BA 2022 itu akan menjadi penanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

Dapatan juga akan menjadi input yang akan digunakan kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif, katanya. – Bernama, 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen