Polis siasat satu lagi kes kematian dalam lokap


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis siasat satu lagi kes kematian dalam lokap, beberapa hari selepas seorang tahanan meninggal dunia dalam lokap di Taiping, Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

POLIS menyiasat satu lagi kes kematian dalam lokap, beberapa hari selepas seorang tahanan meninggal dunia dalam lokap di Taiping, Perak.

Kes kedua berlaku dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada Ahad, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad.

“JIPS dimaklumkan berkenaan kes kematian tersebut pada 4.35 petang pada hari yang sama.

“OKT berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun dan ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Azri, OKT direman selama empat hari bermula semalam hingga 19 Januari (Rabu) ini di Mahkamah Kota Bharu.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT).

Minggu lepas, seorang lelaki berumur 63 tahun meninggal dunia dalam lokap di Balai Polis Taiping.

Lelaki itu menunggu kesnya dipanggil di mahkamah pada 14 Januari.

Lelaki itu didakwa atas tuduhan mencuri kenderaan motor dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata pada 18 April tahun lalu.

Dua anggota polis dan dua tahanan ditahan reman untuk siasatan sehingga 20 Januari.

Mulai awal tahun ini, semua kes kematian dalam tahanan disiasat USJKT iaitu unit khas yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada Disember 2021.

Unit berkenaan diletakkan bawah JIPS dengan diketuai seorang pegawai berpangkat superintendan, 12 anggota dan seorang kakitangan awam. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen