Djokovic tiba di Dubai selepas tinggalkan Australia


Bintang tenis Serbia Novak Djokovic tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pagi tadi. – Gambar AFP, 17 Januari, 2022.

BINTANG tenis Novak Djokovic selamat tiba di Dubai hari ini, selepas mahkamah Australia mengekalkan keputusan kerajaan membatalkan visanya dan mengisytiharkan beliau ancaman kepada umum kerana tidak mengambil suntikan dos vaksin Covid-19.

AFP melaporkan pemain Serbia itu berlepas dari Australia malam tadi, dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 5.32 pagi waktu tempatan.

Djokovic meninggalkan Australia jam 11 malam waktu tempatan.

Pemain nombor satu dunia itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa imigresen Australia pada 6 Januari sebelum dibebaskan atas arahan mahkamah pada 10 Januari. Djokovic ditahan semula pada Sabtu untuk pendengaran kes di mahkamah.

Keputusan sebulat suara oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tamparan kepada impian Djokovic dalam memburu gelaran Grand Slam ke-21 pada Terbuka Australia yang akan membuka tirainya hari ini.

Menteri Imigresen Australia Alex Hawke sebelum ini berkata Djokovic berisiko memberi ancaman kepada masyarakat umum kerana kehadirannya di negara itu akan menggalakkan sentimen antivaksin.

Peguam Djokovic berkata walaupun pemain itu tidak divaksin beliau tidak menyokong mana-mana gerakan antivaksin. – 17 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen