HAMPIR setengah daripada pelajar yang belajar dengan cara atas talian menunjukkan simptom kemurungan, antara gejala ringan hinggalah teruk, menurut satu kaji selidik baru-baru ini.
Menurut kaji selidik Digi yang dikeluarkan pada 3 Januari, 44% daripada 1,746 pelajar berusia 21 tahun berkata mereka mengalami kemurungan.
Laporan itu berkata kaunselor psikologi berdaftar yang ditemubual turut mendedahkan mereka memberi bantuan kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah dan kolej sejak kelas atas talian bermula sepanjang pandemik Covid-19.
Pakar psikologi Tan Chee Seng memberitahu The Malaysian Insight golongan remaja lebih mudah murung berbanding dewasa kerana mereka sedang mengalami perubahan hormone.
Dan sebagai kesan kepada kekurangan interaksi fizikal dengan orang lain, remaja kini mungkin mengalami kemurungan.
“Walaupun ada orang lain dalam kelas online, tapi bagi mereka ia sebenarnya kosong, seperti memandang kepada sesuatu objek. Dalam kes ini, mereka mudah murung, dan ia secara semulajadi menjadi sarang untuk kemurungan dan kebimbangan.”
Katanya, kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan tidak menunjukkan simptom yang ketara tetapi sering lesu kerana kehidupan mereka berubah secara drastik.
“Kebanyakan ibu bapa tidak perasan kemurungan ini, dan mereka mungkin anggap simptom itu sebagai pemberontakan anak akibat ketagih kepada Internet, mengurung diri di dalam bilik, atau malah berfikir anak mereka baik-baik saja di rumah dan tidak akan mengalami kemurungan.”
Beliau berkata masalah itu bertambah buruk kemudiannya apabila ibu bapa mengetahui apa yang berlaku.
Kaunselor berdaftar Benson Lim berkata remaja akan mengalami insomnia dan terfikir untuk bunuh diri dalam kes yang teruk.
Bagaimanapun, berdasarkan kes yang dikendalikan sebelum ini, beliau mendapati ramai ibu bapa terlalu bimbang tentang sama ada anak mereka mengalami kemurungan atau penyakit mental yang lain.
“Cuma dalam budaya rakyat Malaysia, ibu bapa biasanya menggunakan cara agama pada mulanya. Saya cadangkan jika ibu bapa cuba untuk lima hari dan anak tidak bertambah baik, mereka perlu mendapatkan khidmat pakar terapi untuk diagnosis atau kauseling.”
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun ini, beliau menerima banyak permohonan bantuan daripada pelajar sekolah menengah dan kolej.
“Baru-baru ini, seorang pelajar kolej minta bantuan saya. Keputusan peperiksaannya bagus tetapi dia sangat kecewa. Sebabnya ialah dia pada mulanya ingat kehidupan universiti akan indah, tetapi semua rakan sekelasnya memilih kursus secara atas talian.
“Dia selama ini beranggapan hidupnya akan bertambah baik apabila dapat menyertai kelab atau perkara lain tetapi kini kehidupan hanya terhad kepada belajar.”
Lim sangat berhati-hati dalam menentukan antara murung dan mengalami kemurungan.
“Misalnya, jika seseorang dalam keadaan mood rendah, ia mungkin berpunca daripada kematian keluarga, atau masalah hubungan. Memikirkannya, dia akan rasa murung atau menangis.
“Tetapi saya tidak dapat menentukan individu lain sebagai murung kerana tingkah laku ini.
“Kemurungan perlu lebih dua minggu, duduk termenung dan menangis, tidak berfikir apa-apa tetapi tetap menangis, tidak mahu keluar bekerja, jumpa kawan atau ke kelas. Paling penting ialah mereka rasa diri tidak berguna.” – 20 Januari, 2022.
Komen