KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 12 kematian akibat Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, turun sedikit berbanding 19 yang direkodkan semalam.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 31,793 kes, dengan 6,415 berlaku di luar hospital (brought in dead), menurut KKM.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Berdasarkan data dikeluarkan GitHub, Pahang mencatat angka kematian tertinggi iaitu tiga kes, diikuti masing-masing dua kes di Kedah dan Melaka, serta Johor, Kelantan, Negeri Sembilan , Selangor dan Sarawak masing-masing satu kes.
Sementara itu daripada 41,199 kes aktif, 182 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 83 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sebanyak 2,584 kes pulih direkodkan semalam. – 17 Januari, 2022.
Komen