36 kes dikesan babitkan kluster SMK Tambunan


Tambunan adalah daerah di kawasan pedalaman tanah tinggi Sabah terletak kira-kira 80km dari Kota Kinabalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

SATU kluster Covid-19 dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan dengan 36 kes dikesan setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, kluster institusi pendidikan tercetus di asrama lelaki sekolah itu dan kes indeks adalah pelajar berusia 18 tahun yang disahkan positif pada 13 Januari melalui ujian saringan kendiri.

“Hasil saringan kontak rapat terhadap rakan asrama juga mengesan 35 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kluster ini sebanyak 36 kes. Semua kontak positif diasingkan dan diberi rawatan sesuai.

“Siasatan lanjut yang dibuat menunjukkan setakat ini, jangkitan dan penularan virus terhad dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sama,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Tambunan adalah sebuah daerah di kawasan pedalaman tanah tinggi Sabah yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu.

Masidi juga berkata, 213 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 244,217 dan pesakit Covid-19 yang sembuh adalah 108 kes menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih 236,443 orang manakala 761 pesakit sedang menerima rawatan.

“Bilangan pesakit tahap 4 dan 5 menerima rawatan yang masih belum lengkap vaksin adalah 22 orang,” katanya. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen