BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dalam ‘Op Benteng Covid-19 Kelantan’ yang bermula pada 16 Disember lali membabitkan nilai rampasan hampir RM5 juta.
Pegawai Pemerintah PGA 7, Azhari Nusi berkata dalam operasi itu sebanyak 101 kes direkodkan antaranya kegiatan penyeludupan barangan kontraban, penyeludupan hidupan liar (eksotik), barangan kawalan atau bersubsidi seperti tepung, minyak masak dan petrol.
“Kita juga menahan seramai 125 orang yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu termasuk pendatang tanpa izin (Pati) dari Myanmar, Thailand dah Indonesia yang memasuki negara ini melalui pangkalan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azhari berkata, walaupun terpaksa menutup beberapa lokasi penugasan akibat banjir, namun operasi tetap diteruskan dengan menggunakan kenderaan berat seperti motolori di kawasan yang dilanda banjir manakala rondaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal bagi kawasan yang tidak dilanda banjir.
“Bagi penugasan kali ini, Batalion 7 PGA lebih menumpukan pengumpulan maklumat risikan manakala serbuan dan operasi lebih menjurus kepada stor dan premis yang dijadikan transit pengumpulan barangan seludup, penyeludupan rokok yang tidak bercukai, dadah, senjata api dan barangan kawalan,” katanya.
Katanya, antara modus operandi penyeludup adalah menjalankan kegiatan semasa waktu tengah hari dan Maghrib dengan beranggapan anggota keselamatan akan berehat untuk makan dan solat.
“Semua kejayaan ini diperoleh daripada hasil penguatkuasaan sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu dan Banggol Kong di Pasir Mas,” katanya. – Bernama, 16 Januari, 2022.
Komen