Perihal budayawan hendak mengadap Sultan


Pyanhabib Rahman

DIBERITAKAN ada gerombolan budayawan mahu mengadu kepada Sultan konon cerita mereka tidak dipedulikan. Gua terfikir, benda begini pun mahu mengadu kepada Sultan?

Sebagai budayawan yang tahu budaya, kamu sepatutnya berlawan guna otak budaya kamu akan mereka yang kamu lihat meminggirkan kamu itu dan bukan berlawan guna kuasa politik hingga babitkan sultan. Tak cool langsung.

Kamu dihalau dan tidak dipedulikan di negeri sendiri? Meh sini, gua ada cerita:

Sejak tahun 70-an, gua tak ada negeri, gua cuma ada Kuala Lumpur, sebuah ibu kota yang dikenal sebagai Wilayah Persekutuan.

Di Kuala Lumpur pada tahun 70-an hingga 80-an, bersepah aktivis teater miskin yang kaya hati dan rajin. Mereka inilah pada saban masa sentiasa menghidupkan sebuah bangunan separa kayu di Jalan Bandar itu.

Sejak 1970-an bangunan itu dikenal sebagai “Panggung Drama”.

Ya, di Panggung Drama bekas Victoria Institution inilah pekerja teater di Kuala Lumpur bermunculan dari segenap ceruk hingga dari Klang, menjadikan Panggung Drama sebagai tempat beraktiviti, berlatihan, berdiskus bertengkar pasal teater.

Kamu tahu Panggung Drama? Kamu tidak tahu? Kamu patut tahu yang pekerja teater di Kuala Lumpur dihalau dari situ dan Panggung Drama diambil alih oleh orang budaya dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk aktiviti tarian dan muzik mereka. Hari ini bangunan itu menempatkan JKKN Wilayah Persekutuan.

Aktivis teater itu ramai kawan-kawan gua –  sebilangan mereka adalah nama-nama terkenal pada hari ini – di zaman Panggung Drama, mereka hanya tahu berteater, mereka tidak reti politik.

Mereka tidak ada tempat hendak mengadu ketika mereka dihalau dari Panggung Drama, mereka tidak reti himpit orang politik untuk minta belas kasihan agar mereka dibenarkan terus buat kerja teater di situ.

Seterusnya, kamu tahu “Anak Alam”? Kamu tahu kelompok seniman yang menghuni sebuah banglo di lereng bukit di pinggir Jalan Parlimen? Banglo dua tingkat itu berupa kediaman sekali gus tempat Anak Alam beraktiviti. Mereka terdiri seniman pelukis-penyair.

Anak Alam menghuni banglo lama tinggalan kolonial itu lama sebelum wujudnya Rumah Seniman, Rumah Gapena, Rumah Pena, Rumah Wartawan Melayu, Rumah GPMS, Rumah Pencinta Alam hatta rumah persatuan bekas penagih pun!

Kamu tahu apa jadi pada Anak Alam? Kami yang menghuni banglo bernombor 905, Pesiaran Tun Ismail diarah mengosongkan studio kami pada Disember 1988.

Seniman pelukis-penyair Mustapha Ibrahim, pelukis Maryam Abdullah dan gua adalah antara orang terakhir keluar pada pagi hari sebelum Rumah Anak Alam dipecah dinding dan diradak jentolak – gua hanya sedar Rumah Anak Alam akan diroboh hanya apabila dikejutkan dengan kehadiran Cina kontraktor ke dalam bilik gua dan minta kosongkan bilik gua.

Anak Alam adalah koloni seniman-pelukis-penyair penghuni banglo bernombor 905, Pesiaran Tun Ismail, Kuala Lumpur di seberang Padang Merbuk di Jalan Parlimen itu sejak 1974 hingga Disember 1988. Kamu nampak?

Kamu tahu kenapa kami di arah keluar? Ya, tapak itu dibina bangunan Aswara hari ini. Untuk lebih maklum, kami tidak reti politik, tidak ada kenalan orang politik. Kami tidak tahu pergunakan orang politik untuk pertahan dan selamatkan rumah kami (Studio Anak Alam).

Kamu tahu berapa nilai lukisan-lukisan yang menjadi mangsa api kerana kami tidak tahu ke mana hendak dipindahkan? Berjuta ringgit. Ya, nilai lukisan-lukisan yang dibakar dengan terpaksa itu nilainya barangkali jutaan ringgit.

Kamu tahu apa itu Anak Alam? Anak Alam adalah fenomena!

Pada firasat gua yang serba tak kena ini, kamu sebagai gerombolan budayawan sepatutnya guna kepintaran kamu. Jika benda yang jamu bisingkan itu lebih menjurus kepada kewangan, eloklah kamu usaha dapatkan sumber daripada lain pihak.

Ramai di kalangan budayawan kamu aktif politik dan bergelar. Pedulilah mereka yang tidak pedulikan kamu. Jangan bercangkuk dengan orang yang tidak peduli kamu.

Kamu lawan mereka. Buktikan dengan kerja yang kamu bikin.

Semasa aktivis teater di Kuala Lumpur hilang Panggung Drama, semasa kami Anak Alam kehilangan studio, kepada siapa kami mengadu? Siapa peduli kami? Tak ada siapa peduli pun!

Kamu budayawan mahu mengadu kepada Sultan? Okaylah.

p/s: Bab stadium: Kamu tahu, kami kaki bola yang menghuni tangga kambing Stadium Merdeka sejak zaman Pesta Bola Merdeka sudah lama dihalau sebelum kamu dihalau dari Stadium Shah Alam. – 5 Februari, 2018

* Pyanhabib Rahman aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian. Beliau juga terlibat dalam kerja-kerja teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen