MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengarahkan pegawainya menyiasat kes Rohana Abdullah, yang tiada kewarganeraan dan dijaga orang bukan Islam sejak lahir.
Rohana ditinggalkan semasa berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu selepas ibunya warga Indonesia pulang ke negaranya.
Beliau kemudian dibela oleh guru tadika Chee Hoi Lan, 83, yang membesarkannya mengikut ajaran Islam.
“Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” kata Hamzah dalam catatan ringkasnya di Facebook hari ini.
Chee tidak berkahwin, tetapi itu tidak menghalangnya untuk menjaga Rohana seperti anaknya sendiri.
Rohana yang fasih berbahasa Mandarin melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Chee kerana membesar dan menjaganya.
Rohana kini menghadapi masalah kewarganegaraan, kerana ibunya warga Indonesia dan bapanya menghilangkan diri ketika beliau masih kecil.
Beliau memohon kerakyatan sejak 2016 tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Harian Metro melaporkan, Rohana terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen diperlukan.
Pengerusi jawatankuasa penduduk di Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, berkata mereka sudah membangkitkan isu Rohana dengan KDN.
Beliau juga akan menghantar surat rasmi kepada Hamzah.
“Kami akan menghantar dokumen sokongan, termasuk salinan kad pengenalan bapa, sijil kelahiran Rohana dan permohonan kerakyatan yang dibuatnya pada 2016,” kata akhbar itu. – 16 Januari, 2022.
Komen