BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan dakwaan cubaan campur tangan urusan mahkamah ketika beliau menjadi perdana menteri, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata pihaknya menuntut penjelasan daripada Muhyiddin yang mendedahkan ada cubaan menghubunginya untuk campur tangan dalam beberapa kes berprofil tinggi.
“Ini kerana timbulnya kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman meski kita akui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Anwar turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa tidak ada campur tangan dari pihak beliau melibatkan kes-kes berprofil tinggi di negara ini.
Semalam, Tengku Maimun berkata beliau tidak pernah didekati pihak tertentu untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.
Beliau juga berkata hakim lain tidak pernah mengalaminya dan menegaskan bahawa semua hakim membuat keputusan berdasarkan bukti di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip mereka.
“Memang kita telah mendengar daripada pengumuman bekas perdana menteri (Muhyiddin) yang disiarkan di televisyen bahawa beliau didekati, tetapi tiada sesiapa yang menghubungi saya secara peribadi untuk meminta bantuan (campur tangan) sedemikian.
“Tetapi jika ada yang menghubungi, kita boleh katakan tiada apa yang boleh dilakukan kerana apa yang berlaku di mahkamah bergantung kepada bukti dan keterangan,” kata Tengku Maimun.
Muhyiddin tahun lalu mendakwa kedudukannya dipersoalkan kerana enggan campur tangan dalam proses mahkamah membabitkan beberapa individu, merujuk kepada ahli politik Umno yang berdepan dengan pelbagai pertuduhan.
Dalam satu pengumuman khas di televisyen, Muhyiddin berkata beliau enggan tunduk kepada tekanan daripada Umno.
“Ini termasuk tuntutan supaya saya campur tangan dalam proses mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang telah didakwa di mahkamah.
“Saya juga telah dituduh menghasut terhadap raja sedangkan apa yang saya lakukan hanyalah mempertahankan perlembagaan dan raja berperlembagaan.”
“Saya tidak akan meninggalkan prinsip dan sumpah yang telah saya lafazkan untuk menjalankan tanggungjawab saya,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin dipercayai merujuk kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak, yang dikenakan pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa. – 15 Januari, 2022.
Komen