ADUN Perak Terence Naidu mendakwa minumannya dimasukkan dadah ketika di pusat karaoke dan mempunyai saksi untuk menyokongnya.
Wakil rakyat DAP Pasir Bedamar berkata beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu sejurus selepas dibebaskan semalam.
Adun dua penggal itu berkata seorang saksi yang melihat minumannya ditambah turut membuat laporan polis.
“Saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah. Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Naidu ditahan pada malam Khamis di sebuah pusat karaoke di Perai selepas didakwa positif dadah, kata sumber polis.
Beliau ditahan bersama 35 yang lain di sebuah KTV di Megamall Perai.
Menurut laporan polisnya, Naidu berkata beliau dijemput bertemu rakan-rakan, yang juga pelanggan, untuk makan malam Tahun Baru Cina di Pulau Pinang.
“Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan. Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.
“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.
“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit.
“Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu laporan daripada patologi, berhubung sampel air kencing Adun berusia 54 tahun berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Adun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kami sekarang ini sedang tunggu laporan daripada patologi untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, dan seterusnya ia (kertas siasatan) akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan,” katanya. – 15 Januari, 2022.
Komen