8 kes Omicron dikesan di Sarawak


36 kes Omicron itu dikesan di empat daerah di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

LAPAN kes varian Omicron dikesan di Sarawak dalam tempoh hujung tahun lalu hingga 11 Januari, menjadikan jumlah keseluruhan varian berkenaan yang dikesan di negeri itu kepada 36 kes, kata Dr David Perera.

Dalam laporan terbarunya kepada jawatankuasa pengurusan bencana negeri, pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak itu berkata daripada lapan kes yang dikesan menerusi ujian dalam tempoh 42 hari antara Disember dan 11 Januari, tujuh adalah kes import dan satu kes masih dalam siasatan kerana mangsa tidak mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini.

Kesemua kes berkenaan dikesan daripada 262 sampel yang mana Dr Perera dan pasukannya menjalankan ujian dan analisis di makmal Unimas di Samarahan.

36 kes Omicron itu dikesan di empat daerah iaitu Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit.

Varian Delta kekal sebagai varian dominan dengan 212 kes dikesan pada Disember dan enam kes bulan ini, kata Dr Perera dalam laporan yang diserahkan kepada pengerusi jawatankuasa bencana yang juga Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah, hari ini.

Menurutnya dengan penularan itu, masyarakat di Sarawak perlu lebih berwaspada terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Majoriti kes Omicron Sarawak melibatkan penularan komuniti, katanya.

“Oleh itu, orang ramai digesa supaya berhati-hati dalam tempoh perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam perlu dipatuhi. Jika boleh, elakkan berkumpul bagi mengelakkan penularan komuniti,” katanya. – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen