Polis Itali bantah edaran pelitup muka merah jambu


Sebuah kesatuan sekerja polis membantah penggunaan pelitup muka berwarna merah jambu yang didakwa mereka berisiko menjejaskan imej pasukan. – Gambar AFP, 15 Januari, 2022.

SEBUAH kesatuan sekerja polis membantah pemberian pelitup muka berwarna merah jambu kepada anggotanya, memberi amaran yang ia tidak sesuai dengan pakaian seragam mereka dan mewujudkan “risiko menjejaskan imej institusi”.

Bantahan itu disalurkan menerusi sepucuk surat kepada ketua polis negara, diterbitkan pada Khamis, oleh ketua kesatuan SAP menggesa tindakan diambil dalam isu yang disifatkannya sebagai pilihan warna “mengejutkan” untuk pelitup muka FFP2.

Stefano Paoloni berkata pengurus polis perlu “memelihara kewibawaan pegawai mereka, memastikan mereka tidak diarahkan untuk melakukan aktiviti institusi dengan memakai peranti (pelitup muka) dalam warna yang tidak sesuai dengan pakaian seragam dan berisiko menjejaskan imej institusi”.

Beliau mencadangkan warna seperti putih, biru atau hitam yang lebih sesuai dipadankan dengan pakaian seragam yang rata-ratanya berwarna biru.

Dalam notis susulan dipetik media Itali, kesatuan berkata mereka tidak ada masalah dengan warna merah jambu tetapi pakaian seragam polis perlu diselaraskan.

Di Twitter, Timbalan Menteri Infrastruktur Teresa Bellanova berkata tidak ada “soal tidak bermaruah dengan memakai pelitup muka berwarna”.

“Penghormatan kepada pakaian seragam tidak datang daripada warna, tetapi daripada cara kerja lelaki dan wanita yang memakainya.”

SAP yang mempunyai sekitar 20,000 ahli atau seorang daripada lima anggota polis Itali berkata pelitup muka merah jambu diedarkan kepada beberapa pasukan di utara Itali dan Sicily.

Pelitup muka diwajibkan di ruang awam di Itali termasuk di dalam bangunan, bagi mengekang penularan koronavirus, dengan pelitup muka berkualiti tinggi FFP2 diwajibkan digunakan di dalam pengangkutan awam. – AFP, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen