P RAMASAMY hari ini mengecam Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique yang dituduhnya memperdayakan masyarakat India berkaitan prosedur operasi standar (SOP) sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.
Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata Halimah bukan sahaja menarik balik janjinya tetapi juga menipu apabila berkata SOP yang diumumkan sudah dipersetujui oleh jawatankuasa kuil, sekurang-kurangnya di Pulau Pinang.
“Kami tak pernah jangka dia akan umum yang pedati hanya boleh diiringi oleh hanya 100 orang sahaja, iaitu ahli jawatankuasa kuil.
“Seolah-olah tiada penganut Hindu lain yang layak mengiringi pedati itu. Ini sangat berbeza dengan apa yang dibincangkan dan dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramasamy berkata sebelum Halimah mengumumkan SOP Thaipusam, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) sudah mengadakan perbincangan tentang persiapan meraikan Thaipusam.
“Di Pulau Pinang, dalam perbincangan dengan jawatankuasa kuil PHEB, dia banyak bagi kelonggaran SOP.
“Tentatifnya dipersetujui yang akan ada sekurang-kurangnya 500 penganut mengiringi pedati, tiada kavadi, tiada gerai minuman, tiada upacara pecah kelapa, tiada acara cukur kepala kecuali beri susu dibawah SOP ketat.
“Malah, dia sendiri mencadangkan 1,000 penganut mengiring pedati, tetapi jawatankuasa kuil PHEB kurangkan kepada 500.”
Katanya lagi, hakikat yang Halimah sendiri melawat beberapa buah kuil untuk mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa wajar dipuji.
“Tindakan sebegitu menunjukkan niatnya sebagai menteri bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, dengan pengumuman rasmi SOP Thaipusam pada 12 Januari lalu, beberapa hari sebelum majlis, ia sangat mengejutkan kami.
“Dia tak kotakan janji dalam SOP yang dibincangkan.”
Tambah Ramasamy lagi, SOP yang diumumkan juga yang tidak mengambil kira keluasan kuil sekaligus membataskan kehadiran penganut.
“Jawatankuasa kuil PHEB meminta 5,000 penganut dibenarkan hadir pada satu-satu masa, tetapi ia tidak dibenarkan, dan kurangkan kepada 3,000 orang.
“Masa operasi kuil juga dikurangkan daripada 5pagi hingga 5 petang. Tak masuk akal untuk ada masa operasi begitu sehari sebelum Thaipusam, pada hari perayaan dan hari selepasnya.”
Katanya lagi, mereka mencadangkan supaya kuil dibenarkan beroperasi 24 jam sepanjang tiga hari perayaan.
Ramasamy juga membangkitkan peruntukan SOP yang hanya membenarkan mereka berusia atas 18 tahun dan sudah divaksin untuk hadir sambutan Thaipusam.
“Ini SOP mengarut. Bagaimana pula mereka yang dibawah 18 tahun tetapi sudah divaksin?” – 15 Januari, 2022.
Menyusul
Komen