JUMLAH dos penggalak Covid-19 yang diberikan akan melebihi takat 10 juta dos minggu depan, kata Khairy Jamaluddin.
“Setakat 11.59pm malam semalam (hari Khamis, malam Jumaat), hampir sembilan juta dos penggalak sudah disuntik,” kata menteri kesihatan itu di Twitternya.
Tambahnya, kesan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Penggalak dan Prosedur Operasi Standard yang dikuatkuasa, kapasiti hospital kekal bawah kawalan walaupun terdapat lonjakan kes varian Omicron.
Dalam tuit susulan, beliau berkata sebelum Sarawak memulakan program dos penggalak pada Oktober, kes harian melebihi 3,000 kes.
“(Peratusan kes) Kita sekarang turun ke berpuluh digit, dengan setiap petunjuk jatuh lebih daripada 90% sejak September.”
Setakat tengah malam tadi, sejumlah 22,901,050 orang atau 97.8% populasi dewasa negara sudah lengkap vaksinasi Covid-19.
Menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) di laman web CovidNow, 23,181,492 atau 99% populasi dewasa negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Semalam Malaysia melaporkan 3,246 kes baharu Covid-19.
Selangor melaporkan kes tertinggi dengan 1,006 kes, diikuti Johor (380) dan Kuala Lumpur (280).
Negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Kedah (178), Kelantan (270), Melaka (166), Negeri Sembilan (157), Pahang (204), Perak (137), Perlis (15), Pulau Pinang (198), Sabah (244), Sarawak (13), Terengganu (56) Labuan (8) dan Putrajaya (34).
KKM melaporkan 2.8 juta kes Covid-19 dilaporkan sejak wabak mula meledak di negara ini. – 15 Januari, 2022.
Komen