Tampil dapatkan rawatan pemulihan, elak isu remaja 'jenazah' berulang, kata AADK


AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) mahu mereka yang terjebak dengan penagihan dadah untuk tampil mendapatkan bantuan rawatan dan pemulihan melalui pelbagai kemudahan disediakan agensi itu di seluruh negara.

Ia susulan isu tular seorang remaja yang dimandikan seperti jenazah selepas gagal dalam cubaan mencuri duit tabung masjid dan mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk yang simpati terhadapnya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah AADK Tuan Sutekno Ahmad Belon, berkata hasil siasatan polis mendapati remaja itu bertindak sedemikian dikatakan untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian dan pada masa sama, hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Tuan Sutekno berkata, pihaknya menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan bukan sahaja secara fizikal malah terdapat program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada di dalam pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen) di bawah agensi itu.

“Semua kemudahan ini terbuka kepada warganegara terjebak dengan masalah penagihan dadah yang ingin mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengenai remaja itu, Tuan Sutekno berkata, ia memerlukan kerjasama secara holistik pelbagai agensi bagi memastikan ia tidak berulang.

Menurutnya, orang awam yang mahu membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah sama boleh hadir ke pejabat AADK berhampiran atau menghubungi hotline AADK menerusi talian 03-89112233. – Bernama, 14 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen