Kemelut dalaman di Perak, exco wanita Bersatu letak jawatan


Melati A. Jalil

Exco Srikandi Bersatu Zulaiha Sidek mengumumkan perletakkan jawatannya pada sidang media di Ipoh hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Mei, 2017.

KEMELUT dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Perak mendorong seorang exco sayap wanitanya meletakan jawatan, sehari selepas Dr Mahathir Mohamad menyelar pengkhianat di dalam parti itu.

Exco Srikandi Bersatu Zulaiha Sidek melepaskan jawatannya sebagai exco sayap itu dan daripada jawatankuasa pro tem yang diketuainya bagi Bahagian Batu Gajah, berkuatkuasa serta merta.

“Peletakan rasmi jawatan saya hari ini adalah tanda saya sudah bosan dengan krisis dan pergolakan dalam parti,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Beliau menambah kepimpinan pusat dan negeri parti perlu melihat isu perpecahan dengan serius, menggesa mereka membendung masalah itu daripada terus merebak.

“Pakatan rahsia berlaku, jika tidak, saya tidak akan mengambil langkah seperti ini.”

Beliau juga mahu naib presiden parti, Hamidah Osman memainkan peranannya dalam menyelesaikan krisis kepimpinan di Perak.

Pengerusi parti, Dr Mahathir semalam membidas ahli yang cuba mensabotaj dan menjejaskan kestabilan parti, menggesa pemecatan mereka.

Ia susulan laporan Ketua Penaja Bersatu Perak Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menggesa peletakan jawatan Muhyiddin kerana gagal menjalankan tugasnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Bersatu Perak bagaimanapun menafikan ahlinya menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan.

Zulaiha juga mendakwa ketua bahagian negeri itu mencemari sidang akhbar hari ini dengan menyebarkan maklumat yang salah tentang mengapa sidang akhbar itu diadakan.

Info dikeluarkan kepada media semalam menyatakan sidang media hari ini diadakan untuk mendedahkan salah laku presiden parti Muhyiddin.

“Kepimpinan tertinggi perlu mengambil tindakan disiplin terhadap ahli, sama ada mereka ketua bahagian atau ahli. Jika mereka benar-benar ikhlas menerajui parti, mereka perlu mengambil tindakan terhadap orang-orang ini,” katanya. – 23 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen