Kerajaan tetapkan harga siling vaksin di kemudahan swasta


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini mengumumkan harga siling bagi dua vaksin yang diberikan di kemudahan penjagaan kesihatan swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini mengumumkan harga siling bagi dua vaksin yang diberikan di kemudahan penjagaan kesihatan swasta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan bersama berkata harga vaksin Covid-19 yang ditawarkan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta masih tinggi dan berbeza mengikut setiap cawangan sambil menambah kadar itu mungkin membebankan rakyat.

Mereka mengumumkan harga borong maksimum untuk Sinovac ialah RM62 dan harga siling runcit ialah RM77.

Bagi vaksin Sinopharm pula ialah harga borong maksimum RM49 manakala harga runcit MR61.

“Penguatkuasaan perintah itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

“Harga siling akan berkuat kuasa pada 15 Januari di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

“Harga runcit maksimum tidak termasuk perkhidmatan dan barang pakai buang serta caj untuk memberikan suntikan,” kata mereka.

Khairy dan Nanta Linggi menambah harga maksimum ditetapkan mengikut harga import serta pasaran vaksin berkenaan.

Semua kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang menawarkan vaksinasi pembelian swasta perlu mendapat kelulusan kerajaan dan dikehendaki memaparkan harga vaksin untuk ketelusan.

“Ini akan membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin Covid-19 pilihan mereka pada kadar berpatutan,” kata mereka.

Mereka yang menjual vaksin pada harga lebih tinggi daripada harga maksimum akan dikenakan kompaun.

Individu akan dikenakan denda sehingga RM100,000 oleh mahkamah atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Mereka juga boleh dikompaun RM50,000.

Bagi syarikat denda oleh mahkamah boleh sehingga RM500,000 manakala kompaun boleh sehingga RM250,000.

Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan mereka melalui sistem aduan Kementerian Kesihatan di https://moh.spab.gov.my. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen