Lagi anggota Rela buat laporan polis terhadap Shafie Apdal


Jason Santos

Anggota Rela Penampang dan Putatan membuat demonstrasi berhubung kenyataan Shafie dalam sebuah video yang tular sebelum ini. Dalam video itu dikatakan Shafie "memperkecilkan" peranan Rela. – Gambar The Malaysian Insight,4 Februari, 2018.

HARI INI, sekali lagi laporan polis dibuat terhadap pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) Shafie Apdal berhubung kenyataannya yang memperkecilkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Anggota Rela turut membuat protest di hadapan balai polis selepas pemimpin mereka, Matalis Sinalee membuat laporan polis di balai polis Penampang.

Laporan itu susulan kepada penafian Shafie sebelum ini yang beliau membuat kenyataan memperkecilkan anggota Rela dalam video berdurasi 24 saat yang tular dalam media sosial.

Video itu memaparkan Shafie berucap di Tuaran dan mengatakan anggota Rela tidak tahu bagaimana menguruskan senjata api dan bom menyebabkan kemarahan dalam kalangan anggota Rela di seluruh negara minggu lalu. 

Justeru Matalis menggesa polis mengambil tindakan terhadap Shafie selain menuntut bekas menteri Umno itu memohon maaf dan menarik balik kata-katanya.

“Saya dapat tahu mengenai video itu melalui WhatsApp sekitar jam 8 malam di sebuah restoran. Saya dapati Shafie menghina Rela… Kenyataannya bersifat menghina anggota Rela Penampang dan Putatan,” katanya.

Bulan lalu, beberapa laporan polis juga telah dibuat terhadap Shafie berikutan kenyataannya itu.

Pada 22 Januari, Shafie mempertahankan kenyataannya dengan berkata video itu telah diubah suai supaya beliau nampak seperti mempersoalkan kecekapan Rela.

“Komen saya terhadap Rela adalah saya bimbang dengan keselamatan dan kebajikan mereka. Ada saudara mara saya yang juga ahli Rela dan mereka menghubugi saya dan memberitahu mereka ditugaskan diSemporna dan Lahad Datu, yang mana perintah berkurung dijalankan dari senja hingga ke subuh di Pantai Timur Sabah. 

“Mereka hanya diberikan uniform setiap seorang, dan diberikan baton kayu sebagai senjata. Kini bagaimana mereka nak berdepan dengan kumpulan bersenjata seperti Abu Sayyaf dan jenayah meerentas sempadan,” kata Shafie. – 4 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen