Orang Asli Pahang dilupakan ketika banjir, kata penduduk 


Aminah Farid

Hujan berterusan selama tiga minggu pada pertengahan Disember lalu memusnahkan perkampungan Orang Asli yang terletak di sepanjang sungai Pahang. – Gambar Mia Yusri, 14 Januari, 2022.

LAZIMNYA masyarakat Orang Asli di Rompin dan Pekan di Pahang bersiap sedia sekiranya berlaku banjir semasa musim tengkujuh, namun hujan lebat baru-baru ini mengejutkan mereka.

Penduduk kampung berkata aktiviti pembalakan berterusan di negeri ini menyumbang kepada banjir baru-baru ini yang merupakan antara paling teruk sejak 1971.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap Orang Asli yang terjejas akibat banjir, hanya memberikan sedikit atau tiada langsung bantuan, terutamanya kepada perkampungan Orang Asli yang tidak berdaftar.

Mia Yusri, 40, dari Kg Petah berkata hujan berterusan selama tiga minggu pada pertengahan Disember lalu memusnahkan perkampungan Orang Asli yang terletak di sepanjang sungai Pahang, khususnya di Rompin dan Pekan.

Beliau berkata antara lima dan enam kampung terputus hubungan selama tiga minggu kerana jambatan penghubung dihanyutkan arus deras semasa banjir.

“Kira-kira lima hingga enam kampung berhampiran sungai Pahang terputus hubungan selama hampir tiga minggu menyebabkan kampung sukar mendapatkan bekalan makanan dari luar,” katanya.

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), sekurang-kurangnya 64 kampung Orang Asli di Pahang dinaiki air, menyebabkan 565 keluarga kehilangan tempat tinggal.

“Kebanyakan kampung di kawasan rendah berhampiran Laut China Selatan terjejas teruk. Banyak rumah menyaksikan paras air mencecah tiga hingga empat kaki.

“Air juga surut secara perlahan tahun ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa menunggu sebelum mula membersihkan rumah,” katanya.

Mia berkata banjir juga menimbulkan ketakutan penduduk kampung yang bimbang dengan penyakit akibat air kotor serta bahaya ular.

Terdapat perkampungan Orang Asli yang tidak menerima bantuan ketika berdepan musibah banjir baru-baru ini.– 13 Januari, 2022.

Bantuan yang tidak cukup, tidak cekap, terpilih oleh pihak berkuasa

Mia berkata ketika banjir yang berlarutan hampir tiga minggu, kebanyakan perkampungan Orang Asli di kawasan itu hanya menerima bantuan daripada agensi kerajaan sekali sahaja.

Beliau berkata ini menyebabkan majoriti penduduk kampung bergantung kepada kemurahan hati orang ramai.

“Mereka terpaksa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan.

“Kebanyakan bantuan dihantar ke Selangor kerana tiada siapa menjangka banjir teruk di sana.

“Kebanyakan Orang Asli bergantung kepada jualan buah sawit, namun keadaan ini menyukarkan mereka untuk mengeluarkan hasil,” katanya sambil menambah banjir turut memusnahkan kebun dan ladang mereka.

Dua lagi penduduk kampung turut menyuarakan pendapat sama seperti Mia mengenai ketidakcekapan penyampaian bantuan oleh agensi kerajaan.

Seorang penduduk kampung Orang Asli di Rompin yang enggan namanya disiarkan memberitahu The Malaysian Insight bahawa penduduk kampung yang terjejas tidak dipindahkan ke pusat pemindahan tetapi mereka dibiarkan hidup sendiri dengan tinggal bersama saudara mereka sehingga air surut.

“Rumah pondok mereka dinaiki air dan musnah akibat banjir, jadi majoriti tinggal bersama saudara mara di rumah rakit, malah ada yang membina rumah rakit sendiri,” katanya.

Penduduk kampung itu berkata Jakoa hanya membantu kampung yang berdaftar manakala kampung yang lebih kecil dan tidak berdaftar dibiarkan.

Mia dan penduduk kampung itu berkata, penduduk kampung yang terjejas terpaksa menggunakan bot mereka untuk memindahkan orang masuk dan keluar, serta membeli bekalan.

“Malah kami pernah meminta pihak bomba meminjamkan bot untuk membantu penduduk kampung yang terjejas tetapi kami diberitahu untuk menghubungi Jakoa.

“Tetapi kami tidak dapat pergi ke Jakoa kerana kampung-kampung itu tidak berdaftar.”

Untuk mendaftar sesebuah kampung Orang Asli, perlu ada sebilangan penduduk kampung yang mempunyai Tok Batin.

Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, kampung tersebut tercicir daripada sistem Jakoa dan tidak akan menerima bantuan daripada jabatan.

Seorang lagi penduduk kampung Orang Asli yang hanya mahu dikenali sebagai Normah, 50, tinggal di Kampung Pinang berkata kampungnya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam bentuk paket beras 5kg dan sebotol minyak masak, hanya sekali pada awal Januari lalu.

“Walaupun saya menganggap diri saya bernasib baik kerana keadaan saya agak baik, saya berasa sedih dengan penduduk kampung lain yang rumah dan ladang musnah akibat banjir, selain tiada bantuan, mereka kini tidak lagi mempunyai sumber pendapatan,” katanya.

Ketiga-tiga penduduk kampung itu juga berkata aktiviti pembalakan merupakan penyumbang utama kepada banjir dahsyat itu.

“Oleh kerana kami tinggal di kawasan yang berlaku aktiviti pembalakan, anda boleh melihat lumpur yang datang bersama air banjir,” kata Mia.

Hujan berterusan pada 18 dan 19 Disember lalu menyebabkan banjir di tujuh negeri dengan Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang terjejas teruk.

Banjir itu meragut 54 nyawa dan menyebabkan lebih 70,000 orang hilang tempat tinggal. – 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen