Denmark beri dos vaksin ke-4 untuk golongan berisiko


Denmark mencadangkan dos ke-4 pengambilan vaksin Covid-19 bagi kumpulan berisiko tinggi bagi mengawal kesan penularan Omicron. – Gambar EPA, 13 Januari, 2022.

DENMARK pada Rabu mencadangkan dos vaksin Covid-19 keempat kepada kumpulan berisiko tinggi, ketika lonjakan kes varian Omicron.

Menteri Kesihatan Magnus Heunicke berkata langkah itu menandakan “bab baharu” dalam usaha memerangi penularan virus Covid-19.

Denmark akan menawarkan dos keempat kepada “warga yang paling berisiko” - terutamanya mereka yang didiagnosis dengan penyakit serius yang menerima dos penggalak awal semasa musim luruh, Heunicke memberitahu sidang akhbar.

Pihak berkuasa kesihatan berkata mereka berkenaan akan dihubungi awal minggu depan.

Heunicke juga mengumumkan pembukaan semula institusi kebudayaan, ditutup sejak 19 Disember di negara yang menyaksikan 3,433 orang meninggal dunia sejak permulaan wabak, menurut data rasmi terkini yang dikeluarkan pada Rabu.

Denmark yang mempunyai populasi 5.8 juta, setakat ini mencatatkan lebih daripada 1 juta kes Covid-19, dengan lebih 90% muncul dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan varian Omicron.

Maksimum 500 orang akan dibenarkan masuk ke tempat tertutup tetapi bar dan restoran perlu ditutup pada pukul 11 ​​malam dan penjualan alkohol dilarang mulai 10 malam.

Memuji kempen imunisasi, Heunicke berkata Denmark “sekali lagi mempunyai wabak terkawal” kerana ia dilihat bakal menyertai Israel dan Chile dalam menawarkan dos keempat kepada warga yang berisiko.

Sementara itu, kesahan pas kesihatan untuk 79.6% penduduk yang sudah divaksin akan dipendekkan daripada tujuh kepada lima bulan susulan dos kedua.

Selepas dos ketiga, dengan 54.6% daripada populasi sudah mengambilnya sehingga kini, pas berkenaan sah tanpa tempoh tertentu. – AFP, 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen