JERMAN semalam melaporkan lebih 80,000 kes jangkitan akibat Covid-19, mencatat rekod baharu sejak wabak itu melanda dua tahun lalu.
Institut Robert Koch, sebuah agensi kawalan penyakit negara itu mengesahkan 80,430 kes jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, dan 384 kematian.
Lonjakan kes didorong oleh penularan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit, tetapi kebanyakan kes adalah tidak serius serta tidak memerlukan kemasukan ke hospital, menurut Agensi Anadolu.
Sementara itu, kadar kemasukan ke hospital di Jerman berada pada tahap 3.34 bagi setiap 100,000 penduduk pada Selasa, jauh lebih rendah berbanding gelombang sebelum ini, tambahnya.
Bagaimanapun, pegawai kesihatan awam memberi amaran bahawa Omicron merebak lebih cepat berbanding varian sebelumnya serta boleh membebankan sistem kesihatan jika kes terus meningkat secara mendadak pada hari mendatang. – Bernama, 12 Januari, 2022.
Komen