Bimbang penularan Omicron, acara sambutan Tahun Baharu Cina dibuat secara 'online'


Angie Tan

Kebanyakan tokong membatalkan hampir 90% aktiviti bersemuka bagi sambutan Tahun Baru Cina kerana bimbang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

PIHAK pengurusan tokong mengurangkan bilangan aktiviti dan sambutan Tahun Baru Cina secara fizikal kerana bimbang penularan varian Omicron.

Bagaimanapun, beberapa aktiviti masih akan dijalankan secara dalam talian, kata wakil tokong.

Pemangku Presiden Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan Dr Tang Chai Yoong berkata pihak tokong membatalkan 90% aktiviti bersemuka.

“Tahun ini, Tokong Thean Hou membatalkan aktiviti berskala besar yang melibatkan orang ramai seperti Pesta Tanglung.

“Ia (dibatalkan) selama dua tahun berturut-turut. Kebimbangan utama ialah kemunculan semula wabak dan virus varian Omicron,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tang berkata hanya satu acara berskala besar yang akan diteruskan iaitu aktiviti penulisan kuplet Tahun Baru Cina, yang akan dijalankan secara dalam talian.

“Tahun lalu, kami turut menukar acara kaligrafi Cina secara dalam talian dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Kami menerima seramai 800 hingga 1,000 peserta dari seluruh Malaysia.”

Beliau berkata, walaupun kebanyakan aktiviti sambutan dibatalkan, pintu Tokong Thean Hou akan tetap dibuka kepada orang ramai untuk bersembahyang tetapi akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita akan mengehadkan bilangan orang di tokong pada setiap slot waktu mengikut SOP terkini yang akan diumumkan kerajaan.

“Kami akan menguruskannya melalui janji temu dan tempahan yang dibuat melalui panggilan telefon,” kata Tang.

Beliau juga meramalkan tokong akan lengang tahun ini berbanding perayaan sebelumnya.

Beliau berkata Tokong Thean Hou akan menarik sekurang-kurangnya 100,000 orang pada masa lalu semasa perayaan Tahun Baru Cina.

Itu juga bermakna tokong menerima sedikit sumbangan dalam tempoh dua tahun lalu semasa wabak itu, kata Tang.

“Pendapatan kami untuk menyelenggara tokong juga sudah berkurangan. Tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan, kami hanya boleh berharap tahun depan lebih baik,” katanya.

Satu lagi tempat tumpuan semasa Tahun Baru Cina, Tokong Dong Chan Shi di Jenjarom, Selangor, yang digemari kerana tanglungnya yang besar dan menarik, turut mengehadkan pengunjungnya.

Wakil Dong Chan Shi, Pierre Teh berkata tanglung hanya akan dinyalakan selama sembilan hari tahun ini. – 12 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen