LEBIH 100,000 orang meninggal dunia di Poland akibat Covid sejak permulaan wabak itu, kata kerajaan pada Selasa, dengan kadar kematian di negara itu adalah antara yang tertinggi di dunia.
“Ia satu lagi hari yang menyedihkan lebih-lebih lagi hari ini kerana kita sudah melepasi ambang 100,000 kematian,” kata Menteri Kesihatan Adam Niedzielski kepada saluran berita TVN24.
Niedzielski berkata data harian terkini menunjukkan 493 orang meninggal dunia, yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 100,254 orang, dan terdapat 18,000 pesakit kini berada di hospital.
Menurut pengiraan yang AFP dengan data terkini yang ada, Poland melaporkan 14.31 kematian bagi setiap 100,000 penduduk sepanjang 14 hari lalu—tahap keenam tertinggi di dunia selepas Trinidad dan Tobago, Moldova, Georgia, Hungary dan San Marino.
Tahap di negara jiran Jerman ialah 4.31, berada pada kedudukan ke-26.
Hanya sekitar 63% populasi dewasa Poland diberi vaksin lengkap terhadap Covid-19 yang merupakan antara terendah di EU.
Kerajaan menggalakkan penduduk Poland mendapatkan vaksin tetapi dikritik oleh pembangkang kerana tidak mengambil tindakan lebih tegas seperti memperkenalkan syarat sijil vaksin.
Jumlah kematian tertinggi berkaitan Covid di EU setakat ini adalah di Itali iaitu lebih 139,000, diikuti Perancis, Jerman dan Poland. – AFP, 11 Januari, 2022.
Komen