Kumpulan peguam kritik Hamzah tentang komen Rohingya 'naik kepala'


Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata sangat mengejutkan apabila Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengatakan pelarian Rohingya di Malaysia "naik kepala" susulan video tular dua kanak-kanak kelihatan kurang ajar terhadap pengguna jalan raya ketika meminta derma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2022.

MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana memberi amaran kepada pelarian Rohingya supaya tidak “naik kepala” di negara ini.

Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata sangat mengejutkan apabila Hamzah mengulas tentang video tular dua kanak-kanak yang kelihatan kurang ajar terhadap pengguna jalan raya ketika meminta derma.

“Apa yang lebih membingungkan apabila menteri beri gambaran yang semua pelarian Rohingya ‘naik kepala’ atau bermasalah.

“Apakah yang dikritiknya sampai sebut “naik kepala”? Rakyat Malaysia tiada yang ‘naik kepala’? Adakah kita ini semuanya malaikat, boleh hukum kaum lain?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaid berkata mengikut takrif, perkauman perkara berbahaya atau tidak adil yang dikatakan atau dilakukan berdasarkan kepercayaan yang kaum sendiri lebih baik atau bermoral.

Hamzah pada 8 Januari lalu memberi amaran kepada warga Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya tidak berdegil dalam apa sahaja yang mereka lakukan dan memahami situasi mereka sebagai pelarian.

Hamzah berkata, kerajaan bersimpati dengan situasi yang dihadapi golongan itu namun sebarang tindakan yang mendatangkan masalah kepada negara akan ditangani.

Beliau berkata mereka memegang kad UNHCR dan tidak sepatutnya melihat Malaysia sebagai negara “tanah perkuburan”.

“Kami hanya membantu atas dasar kemanusiaan tetapi jangan naik kepala kerana saya tidak suka sesiapa menganggap mereka tidak terikat dengan undang-undang kita.

“Betul, kita simpati kepada golongan berkenaan tetapi mereka tidak boleh sehingga menimbulkan masalah contohnya aktiviti meminta sedekah di lampu isyarat sehingga memaki hamun, perkara itu tak sepatutnya berlaku dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kanak-kanak Rohingya didapati mengemis dan bertindak agresif terhadap pemandu kenderaan di sekitar Cheras seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu Zaid berkata dengan melabelkan keseluruhan kaum itu seperti yang dibuat Hamzah sama seperti perkauman, mengikut semua jenis takrifan.

Tambahnya Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri sepatutnya lebih arif berbanding dengan mencetuskan perasaan membenci terhadap Rohingya.

“Beliau sepatutnya lebih prihatin sama ada kanak-kanak itu dieksploitasi, dan tentang punca asas yang menyebabkan kanak-kanak itu mula mengemis. Orang yang paling keras hati pasti bersimpati dengan kanak-kanak dalam kesusahan ini,” katanya.

Zaid berkata Hamzah perlu sedar tiada rangka kerja sedia ada yang melindungi kesejahteraan fizikal dan ekonomi pelarian di Malaysia, yang menjadikan mereka sangat terdedah kepada eksploitasi atau menggunakan apa sahaja cara yang mereka boleh temui untuk terus hidup.

“Mereka sedar status undang-undang mereka sebagai pelarian di Malaysia dengan kesusahan harian yang perlu mereka tanggung setiap hari.

“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu membantu etnik Rohingya atas dasar kemanusiaan, perkara pertama yang perlu mereka buat ialah menganggap mereka seperti mangsa keadaan yang melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai dan tidak menjadikan mereka sasaran kebencian masyarakat di Malaysia,” katanya. – 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen