Perancis longgarkan sekatan Covid-19 di sekolah


Perancis melonggarkan peraturan Covid-19 untuk sekolah selepas bilangan kes tertinggi menutup ribuan kelas dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta guru. – Gambar EPA, 11 Januari, 2022.

PERANCIS semalam mengumumkan pelonggaran peraturan Covid-19 untuk sekolah selepas bilangan kes tertinggi menutup ribuan kelas dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta guru.

Perdana Menteri Jean Castex memberitahu televisyen France 2 lebih 10,000 kelas - 2% daripada jumlah keseluruhan terpaksa dibatalkan kerana wabak koronavirus tetapi kerajaan tidak akan menutup sekolah atau negara.

Perancis mencatatkan lebih 125,000 kematian sejak permulaan wabak itu dan semalam merekodkan 93,896 kes baharu Covid-19 apabila varian Omicron yang sangat menular meningkatkan jangkitan harian ke paras tertinggi.

Di bawah perubahan pertama mulai hari ini ibu bapa tidak lagi diwajibkan mengambil anak mereka dengan segera untuk ujian Covid-19 jika mereka adalah kontak rapat.

Ujian di rumah akan dianggap mencukupi dalam kes sedemikian dan bukannya ujian di tapak yang diluluskan secara rasmi dengan ibu bapa menandatangani sijil untuk mengesahkan keputusan.

Kit ujian yang boleh didapati dari farmasi adalah percuma.

Lebih 100,000 penduduk di seluruh Perancis membantah pada Sabtu lepas atas apa yang mereka katakan sebagai rancangan kerajaan untuk terus menyekat hak mereka yang tidak divaksin. – AFP, 11 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen