Itali perketat sekatan terhadap individu tidak divaksin 


Itali merupakan salah satu negara yang merekodkan angka kematian tertinggi akibat Covid-19, hampir 140,000.– Gambar EPA, 10 Januari, 2022.

INDIVIDU yang tidak diberi vaksin Covid-19 dilarang daripada mengunjungi restoran atau mengambil penerbangan domestik di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa Isnin ketika sekolah dibuka semula di seluruh Itali.

Hanya mereka yang baru pulih daripada jangkitan koronavirus dikecualikan daripada peraturan itu.

Majoriti sekolah dibuka pada Isnin untuk penggal baharu di bawah arahan kerajaan, walaupun terdapat gesaan daripada guru besar, kesatuan doktor dan beberapa datuk bandar untuk menangguhkan sesi persekolahan selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Bagaimanapun, lebih 1,000 majlis di seluruh negara telah menutup sekolah mereka, menurut laporan media.

Pakar virologi terkemuka Massimo Galli di hospital Sacco de Milan berkata pembukaan sekolah adalah “tidak berhemah dan tidak wajar”, manakala pakar kesihatan awam Walter Ricciardi menyifatkan situasi itu sebagai letupan.

Itali adalah negara Eropah pertama yang dilanda koronavirus pada awal 2020 dan merupakan salah satu negara yang merekodkan angka kematian tertinggi, hampir 140,000.

Ia melaporkan hanya lebih 155,000 kes baharu pada hari Ahad daripada populasi 60 juta.

Lebih 86 peratus penduduk berusia lebih 12 tahun telah diberi vaksin dan suntikan tersedia untuk kanak-kanak yang lebih muda. Kira-kira 15 peratus kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah mendapat vaksin pertama mereka.

Virus itu “dalam fasa eksponen. Pembukaan semula sekolah akan membawa tekanan tambahan, dan saya bimbang bilangan jangkitan akan meningkat sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari,” kata pakar virologi Fabrizio Pregliasco. – AFP, 10 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen