Malaysia tidak mampu laksana 'lockdown', kata Khairy


Bandar Yuzhou di China dikenakan perintah 'total lockdown' bagi membendung penularan wabak Covid-19. – Gambar EPA, 9 Januari, 2022.

MALAYSIA tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan lockdown (sekatan pergerakan) untuk mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebaliknya berkata, strategi kerajaan untuk menyekat penularan wabak itu adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.

“Tidak dinafikan pendekatan China (melaksanakan lockdown) berkesan.

“Namun strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau ‘zero Covid’ bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif,” kata Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau, hari ini.

Dalam ciapan itu, Khairy turut menyertakan tangkap layar laporan berita menyebut “Yuzhou: Second Chinese city forced into Covid lockdown” (Yuzhou: Bandar kedua China dikenakan sekatan pergerakan Covid).

Khairy berkata, Malaysia mengurus kes positif dengan berkesan apabila kadar vaksinasi tinggi, selain turut mengingatkan rakyat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) supaya kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjalankan tugas.

Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing mempersoalkan latar belakang Noor Hisham sebagai pakar bedah dan bukan daripada bidang kepakaran kesihatan awam. – Bernama, 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen