Penggiat industri Sabah gesa kerajaan negeri selesai isu pekerja asing


Penggiat industri turut mencadangkan pengurangan levi pekerja asing sebanyak RM6,000 bagi mereka yang bekerja selama 11 tahun dan ke atas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

PENGGIAT industri di Sabah merayu kerajaan negeri supaya membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing yang dihadapi oleh industri dan mencadangkan beberapa langkah untuk menanganinya dengan segera.

Setiausaha Agung Persatuan Majikan Sabah (SEA) Fong Ming San menggesa kerajaan negeri untuk membuka sempadan dan membenarkan industri mengambil pekerja dari Filipina dan Indonesia, melaksanakan satu lagi pusingan program pengampunan/penyusunan semula untuk anggaran 1.2 juta pendatang asing tanpa izin di negeri itu.

“Selain itu, membenarkan permohonan kuota dilaksanakan dengan segera, membenarkan pembaharuan automatik kuota tidak digunakan yang diluluskan sebelum pandemik dan pemprosesan permohonan kuota yang lebih cepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fong berkata, industri Sabah yang bergantung kepada buruh asing turut meminta permit kerja diberikan kepada pemegang IMM13 dan kad pengenalan merah atau hijau oleh pendatang Filipina dan Indonesia yang kini berada di negeri itu.

Beliau turut menggesa program penentukuran semula 2019 diteruskan yang terhenti akibat pandemik dan membenarkan 80,000 kes yang layak “tertunda” disediakan untuk pekerjaan yang sah dan memastikan pemprosesan permohonan kuota pekerja asing yang lebih cepat.

“Membenarkan permohonan kuota pekerja asing dilaksanakan dengan segera, termasuk pembaharuan automatik kuota tidak digunakan yang diluluskan sebelum pandemik dan mengeluarkan garis panduan terkini untuk permohonan penggajian pekerja asing,” katanya.

Langkah lain yang dicadangkan adalah mengurangkan levi pekerja asing sebanyak RM6,000 (sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan) bagi mereka yang bekerja selama 11 tahun dan ke atas dan memperbaharui pas pekerja yang mempunyai dokumen yang baik yang tidak dapat memperbaharuinya berikutan langkah kawalan pergerakan Covid-19.

Fong berkata, enam persatuan perdagangan iaitu SEA, Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA), Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Persatuan Perabot Sabah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah dan Persatuan Penanam Malaysia Timur mengemukakan memorandum mengenai pekerja asing kepada Ketua Menteri Hajiji Noor melalui Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Joachim Gunsalam baru-baru ini.

Fong berkata, industri Sabah terjejas oleh kekurangan pekerja asing sejak beberapa tahun lalu, dengan situasi menjadi teruk sejak Mac tahun lalu selepas negara menutup sempadannya berikutan langkah mengawal pandemik Covid-19.

“Pekerja asing dengan permit yang tamat tempoh pulang ke negara asal mereka dan tidak dapat kembali ke Malaysia selain pada masa sama, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing baharu,” katanya. – Bernama, 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen